Pelancaran Jentera Pilihan Raya Rancakkan Lagi Mesyuarat UMNO Bahagian
KUALA LUMPUR, 17 Okt – Pelancaran jentera UMNO/Barisan Nasional (BN) sejurus selesai mesyuarat UMNO bahagian yang berlangsung pada Sabtu dan Ahad seluruh negara rata-rata dilihat membakar semangat jentera di akar umbi untuk berdepan Pilihan Raya Umum (PRU) yang akan ditentukan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) Khamis ini.
Begitu juga di Temerloh apabila Ketua Bahagian, Datuk Seri Mohd Sharkar Shamsudin bersama kepimpinan parti yang lain turut mengambil kesempatan sama melancarkan jentera BN parlimen berkenaan setelah selesainya mesyuarat bahagian.
Menerusi catatan di Facebooknya, beliau menegaskan pelancaran berkenaan adalah untuk memberi suntikan semangat kepada jentera di akar umbi yang telah sekian lama melaksanakan tugas masing-masing.
“Mesyuarat Perwakilan UMNO Temerloh dan Pelancaran Jentera BN Parlimen Temerloh. Semoga kita dapat kekalkan dua kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) sebelum ini dan menawan satu lagi DUN serta Parlimen Temerloh. Sama-sama kita usahakan yang terbaik demi Temerloh tercinta ini. Untukmu Temerloh,” ujarnya.
Pada PRU lalu, BN menang di DUN Lanchang dan Semantan, manaka DUN Mentakab serta Parlimen Temerloh dimenangi PKR.
Dalam perkembangan lain, Sharkar yang sebelum ini ADUN Lanchang serta Penyelaras BN Parlimen Temerloh turut berkongsi program walkabout pimpinan UMNO kawasan berkenaan yang merupakan program mingguan beliau.
“Semalam kami mengadakan walkabout di Perkampungan Orang Asli sekitar Parlimen Temerloh bersama Dato Nor Azmi dan rombongan UMNO Bahagian Temerloh. Sebanyak lapan perkampungan kami lawati. Sempena Hari Orang Asli Sedunia, kami menyampaikan pek bakul makanan dari YAB Menteri Besar Pahang kepada setiap isi rumah.
“Alhamdulillah, kebajikan dan kehendak masyarakat orang asli tidak pernah dipinggirkan oleh kami dan kerajaan negeri Pahang. Program seumpama ini bukanlah program bermusim kerana dengan pendekatan sebegini kita dapat tahu suasana di bawah,” tambahnya. – UMNO Online