PPBM Main Wayang, Tiada Kekuatan Akar Umbi… Tiru Cara UMNO Dekati Rakyat

KUALA LUMPUR, 26 Ogos – Ketua UMNO Bahagian Sabak Bernam, Datuk Dr Abd Rahman Bakri berpandangan UMNO mempunyai kekuatan yang tersendiri untuk berhadapan dengan Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15).

Katanya, ini kerana parti pesaing lain antaranya Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) bukan sebuah parti kukuh apatah lagi tidak mempunyai kekuatan akar umbi yang bersepadu seperti UMNO terutama di Selangor.

“Kalau tanya saya memang tak kuat PPBM Sabak Bernam ini, sebab ahli tak ada sangat, orang daripada UMNO sendiri yang masuk ke PPBM boleh dikira sebab tak banyak.

“Ranting dan cabang yang ada pun saya lihat tidak banyak seperti yang digembar-gemburkan. Mungkin sesetengah cawangan itu boleh ditubuhkan tetapi tidak mengikut peraturan mesyuarat contohnya bilangan kuorum dan sebagainya sekiranya ada 10 atau 11 orang hendak juga ditubuhkan cawangan.

“Saya tak tahu dari segi Jabatan Pendaftar Pertubuhan (RoS) lepas atau tidak bagi saya jawapannya mudah memang PPBM di Sabak ini antara parti yang lemah di Selangor,” katanya ketika ditemui secara eksklusif bersama UMNO Online baru-baru ini.

Mengulas lanjut beliau yang juga Ketua Penerangan UMNO Negeri juga berkata, PPBM juga sering kali menggunakan pendekatan licik malah meniru cara UMNO untuk mendekati rakyat.

Jelas Abd Rahman, parti tersebut juga bertindak mencari ahli secara tidak tulus apabila terus memasukkan data penerima bantuan sebagai ahli parti mereka.

“Saya lihat ada juga program meniru cara kita malah Ahli Parlimen, Datuk Mohd Fasiah Mohd Fakeh seperti memilih untuk beri bantuan dan sebagainya.

“Malah pada satu ketika dahulu dia memberi peluang untuk orang mengambil barang-barang keperluan ketika Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) kena mengisi borang, sedar tak sedar orang yang isi borang itu sudah menjadi ahli PPBM. Ini menimbulkan kemarahan kepada rakyat tempatan,” ujar beliau.

Untuk rekod, PRU-14 lalu BN memenangi kerusi Parlimen Sabak Bernam menerusi calon, Mohd Fasiah yang kemudiannya lompat ke PPBM pada penghujung 2018.

Sinonim sebagai kubu kuat BN, kerusi tersebut menyaksikan pertembungan tiga penjuru di antara calon PPBM atas tiket PKR, Warno Dogol dan Pas, Muhammad Labib Abd Jalil.

Beliau pada masa sama turut meluahkan keyakinan untuk BN mengekalkan kemenangan di Parlimen serta Dewan Undangan Negeri (DUN) Sungai Air Tawar di samping merampas Sabak daripada Pakatan Harapan.

“Kita di peringkat UMNO Bahagian telah pun buat kerja ini bukannya sekarang tetapi sudah lama selepas dia (Mohd Fasiah) melompat kita menyambung kerja-kerja kita untuk memastikan bahawa rakyat atau pengundi di sini masih dan tetap setia dengan UMNO.

“Sebab itu dari hasil kerja kita memang menaruh keyakinan bahawa dalam PRU-15 ini kita akan mengekalkan kemenangan di serta merampas DUN Sabak, anggaran kita adalah 3-0 itu memang keyakinan di peringkat UMNO Bahagian,” katanya. – UMNO Online

Oleh: Nurul Saadah Latib

Dapatkan segala pautan dan media sosial UMNO di www.linktr.ee/umno #UMNOBangkit