Pengundi India Beri Komitmen Bantu Kemenangan BN – Azeez Rahim

 PARIT YAANI, 9 Mac – Ahli Majlis Kerja Tertinggi UMNO Datuk Seri Abdul Azeez Abdul Rahim mengharapkan masyarakat kaum India dapat memberikan kemenangan pada calon Barisan Nasional (BN) untuk Dewan Undangan Negeri (DUN) Parit Yaani, Datuk Mohd Najib Samuri.

Katanya, kehadirannya sedikit sebanyak dapat membantu pengundi-pengundi India yang hampir 900 pengundi di sini.

“Sebanyak 400 pengundi India akan mengundi di DUN Parit Yaani, manakala selebihnya ke DUN Parit Raja, Rashidah Ismail. Kedua-dua DUN ini sememangnya dijaga oleh Badan Perhubungan UMNO Pulau Pinang dan kehadiran saya hanya membantu khususnya masyarakat India kerana boleh berbahasa India.

“Kalau dilihat perayu ini ada beberapa pecahan dan masyarakat kaum India ini masih mantap lagi. Walaupun ada permasalahan sedikit itu perkara biasa tapi kebanyakan masyarakat India ke arah BN.

“Suka atau tidak suka adalah faktor penentu kemenangan seseorang calon dalam Parlimen Johor ini dan di antaranya adalah masyarakat India. Alhamdulillah… kehadiran kami diterima dengan hati terbuka. Paling penting BN tidak memburukkan sesiapa, BN tidak memanggil ‘kluster ini’ dan sebaliknya,” katanya ketika ditemui di bilik gerakan PDM Bandar Tongkang Pecah, di sini.

Beliau yang juga Ahli Parlimen Baling berharap ‘Bangsa Johor’ dapat membuat pilihan yang tepat dan memberikan signifikan pada UMNO/BN.

“Saya berharap pada 12 Mac ini Bangsa Johor akan membuat satu ketetapan, pilihan yang tepat. Cukup-cukuplah apa yang kita merana selama 22 bulan… apa pun tak ada daripada sudut ekonomi Johor yang menduduki nombor satu dan sekarang ini jatuh menjunam.

“Saya harap rakyat boleh fikir matang-matang dan janganlah akhir-akhir nanti ada ‘tangan-tangan ghaib’ datang dan bercerita tentang perkara-perkara yang belum tentunya pasti dan akhirnya menjadi fitnah dan yang merana adalah rakyat.

“Tepuk dada tanya selera, insya-Allah akan diberi hidayah kepada setiap insan bangsa Johor untuk memilih BN,” tegasnya. – UMNO Online

Oleh: Amin Adnan

@umnoonline

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.