Syarat Vaksinasi Lengkap Kekal Untuk Kemudahan Sektor Sosial, Ekonomi Dalam Semua Fasa PPN

PUTRAJAYA, 1 Okt – Syarat vaksinasi COVID-19 lengkap untuk setiap kemudahan sektor sosial dan ekonomi dalam semua fasa Pelan Pemulihan Negara (PPN) kekal, kata Menteri Kesihatan Khairy Jamaluddin.

Beliau berkata mesyuarat Jemaah Menteri hari ini bersetuju agar setiap kemudahan yang diumumkan sebelum ini dilaksanakan dengan syarat vaksinasi lengkap, kekal bagi semua fasa PPN.

Katanya ia berikutan perkembangan terkini peralihan fasa PPN bagi semua negeri, serta mengambil kira dominasi varian Delta iaitu sebanyak 94.9 peratus dalam kalangan varian baharu COVID-19 yang dikesan dalam negara.

“Keputusan ini dibuat setelah mengambil kira keselamatan nyawa rakyat, mengukuhkan sistem kesihatan awam negara, melancarkan pembukaan semula ekonomi dan memastikan usaha kerajaan untuk memulakan proses peralihan ke fasa endemik dilakukan dengan selamat,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Menurutnya bagi individu yang tidak boleh divaksin atas sebab kesihatan, mereka perlu mengemukakan maklumat kesihatan yang telah disahkan oleh pegawai perubatan.

Ketika ini negeri Kedah, Pulau Pinang, Perak, Kelantan, Johor dan Sabah berada dalam Fasa Dua PPN; manakala Kuala Lumpur, Putrajaya, Selangor, Melaka, Perlis, Pahang, Terengganu serta Sarawak dalam Fasa Tiga; dan Negeri Sembilan serta Labuan dalam Fasa Empat.

Khairy berkata individu akan diiktiraf sebagai telah lengkap vaksinasi apabila telah melepasi hari ke-14 dari tarikh suntikan dos kedua bagi penerima vaksin jenis dua dos seperti Pfizer, AstraZeneca, dan Sinovac; manakala melepasi hari ke-28 dari tarikh suntikan bagi vaksin jenis dos tunggal seperti Johnson & Johnson dan CanSino.

Beliau berkata kejayaan untuk membawa negara keluar dari pandemik tidak hanya bergantung kepada usaha dan strategi kerajaan sahaja tetapi juga kepada tahap pematuhan masyarakat kepada prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan.

“Sekiranya masyarakat mengambil mudah kelonggaran yang diberikan, tidak mustahil situasi jangkitan kembali menjadi teruk,” katanya.

Khairy berkata perincian mengenai SOP fasa pemulihan negara akan diumumkan oleh Majlis Keselamatan Negara (MKN) dalam waktu yang terdekat. – BERNAMA

Dapatkan segala pautan dan media sosial UMNO di www.linktr.ee/umno #UMNOBangkit