Parlimen Bersidang: Kerajaan Jangan Beri Alasan, Cukuplah Sajian Madah Berhelah
ALOR SETAR, 21 Jun – Pergerakan Pemuda UMNO Negeri Kedah tidak mahu lagi mendengar alasan demi alasan kenapa Parlimen tidak boleh dibuka dan cukuplah dengan sajian madah berhelah yang tidak menyelerakan.
Tegas Ketuanya Mohamad Fadzil Zolkipli, dengan tiada lagi alasan apabila Seri Paduka Baginda Yang Dipertuan (YDP) Agong sendiri bertitah agar Parlimen bersidang dengan segera dan tiada halangan soal undang-undang Parlimen bersidang semasa tempoh darurat, kerajaan harus menyatakan komitmen bilakah ahli dewan dapat kembali berbahas menyuarakan permasalahan rakyat.
“Pemuda UMNO Kedah mendesak Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin tampil menyatakan dengan jelas tarikh baru persidangan parlimen. Perdana Menteri harus menyakinkan rakyat ia tidak melawan titah YDP Agong dan jujur dalam mentadbir kerajaan.
“Penubuhan Jawatankuasa Khas Parlimen seperti yang diumumkan oleh Perdana Menteri semalam juga hanya dilihat sebagai satu lagi siri alasan demi alasan. Kami mahu penyelesaian muktamad,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.
Jelasnya lagi, Parlimen adalah prinsip asas demokrasi yang tidak harus dimandulkan atas alasan darurat kesihatan.
“Suara wakil rakyat adalah suara rakyat, lantas apabila Parlimen tidak bersidang ia menjadikan suara rakyat bisu.
“Membisukan suara rakyat adalah lambang kerajaan lemah dan sejarah membuktikan apabila suara rakyat dibisukan mereka akan bangkit dengan keras,” bidasnya.
Tambahnya, pelbagai isu kini gagal dibahaskan dengan baik terutamanya berkaitan dengan bantuan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 3.0 untuk rakyat yang terkesan.
“Pemuda UMNO Kedah menerima pelbagai rungutan dari mereka yang terkesan secara langsung untuk PKP kali ini/
“Apabila rakyat melihat PKP 3.0 ini terpaksa dilakukan akibat kegagalan kerajaan mengawal pandemik ini dengan pelbagai prosedur operasi standard (SOP) yang bercelaru dan keputusan keputusan dasar yang ‘flip flop’ yang akhirnya garis lengkung pandemik ini gagal dilandaikan malah meningkat drastik daripada PKP 1.0 dan 2.0,” katanya.
Begitu juga katanya keterpaksaan rakyat mengikuti PKP 3.0 ini tidaklah pula diberikan bantuan yang setimpal dengan situasi terkini.
“Banyak perniagaan bakal gulung tikar, maka pengangguran akan meningkat, isu-isu seperti bantuan i-Sinar dan moratorium bank juga kali ini dilihat sepi walaupun bantuan bantuan ini bakal memberi kelegaan terus kepada rakyat dan dilihat tidak merugikan kantung kerajaan,” ujarnya.
Sehubungan itu juga katanya Pemuda UMNO negeri akan menyokong sekiranya UMNO mahu menamatkan sebarang kerjasama dengan kerajaan Perikatan Nasional (PN)
“Malahan kami mendesak agar UMNO bertegas dan segera mengambil tindakan untuk kaji semula sokongan kepada kewujudan kerajaan sekarang sekiranya kerajaan masih berdalih dalam pembukaan parlimen.
“Segera yang dimaksudkan adalah dalam jangka masa yang terdekat ini dan bukannya Oktober seperti mana perancangan kerajaan,” tegasnya. – UMNO ONLINE