SOP Sambutan Aidilfitri Yang Tular Adalah Palsu – Ismail Sabri
KUALA LUMPUR, 28 April – Prosedur Operasi Standard (SOP) mengenai sambutan Aidilfitri yang tular di media sosial hari ini adalah palsu dan tidak benar, kata Menteri Kanan (Kluster Keselamatan) Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.
Beliau berkata kerajaan belum mengeluarkan sebarang SOP mengenai perayaan itu, dan ia akan diumumkan dalam masa terdekat
“Senarai SOP itu fake (palsu), tidak betul…. kononnya pada Aidilfitri nanti rentas daerah tidak dibenarkan, itu tidak benar sama sekali.
“Saya akan umumkan nanti SOP sambutan itu termasuklah tentang takbir raya, solat Aidilfitri, kunjung mengunjung dan ziarah tanah perkuburan,” katanya pada sidang media mengenai perkembangan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) di Wisma Pertahanan, semalam.
Hari ini tular senarai kononnya SOP Aidilfitri termasuklah program ziarah dan rumah terbuka tidak dibenarkan, ziarah hanya boleh dalam kalangan ahli keluarga yang terdekat dan tidak melebihi 15 orang, selain aktiviti rentas daerah tidak dibenarkan lima hari sebelum perayaan hingga lima hari selepasnya.
Sementara itu ditanya mengenai peniaga burger di Kelantan yang dikompaun RM50,000, Ismail Sabri secara peribadi menyifatkan hukuman itu terlalu tinggi dan tidak sepatutnya berlaku.
Beliau berkata jenis-jenis kesalahan dan jumlah kompaun telah dibentangkan dengan terperinci sebelum ini, dan kompaun RM50,000 adalah berkaitan dengan syarikat.
“Pengeluaran kompaun adalah di bawah bidang kuasa Polis Diraja Malaysia (PDRM) manakala untuk rayuan pengurangan adalah di bawah bidang kuasa Kementerian Kesihatan (KKM).
“Bagaimanapun perkara ini sedang diambil tindakan oleh KKM, jadi kita tunggulah pengumuman secara rasmi dari pihak mereka,” katanya sambil memberitahu mereka yang dikenakan kompaun boleh membuat rayuan kepada KKM.
Mengulas mengenai keperluan melaksanakan semula arahan bekerja dari rumah susulan kerajaan mengumumkan sesi Pengajaran dan Pembelajaran di Rumah (PdPR) selama dua minggu selepas cuti Hari Raya, Ismail Sabri berkata perkara itu akan dibincangkan bersama pihak berkaitan dalam masa terdekat.
“Sebelum ini, kita sudah umumkan bekerja dari rumah dan apabila keadaan berubah dengan kes semakin menurun, kita benarkan untuk bekerja di pejabat masing-masing termasuk pihak swasta.
“Dengan keadaan sekarang kes semakin meningkat, pihak berkaitan (Jabatan Perkhidmatan Awam), MITI (Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri) akan umumkan mengenai perkara ini (bekerja dari rumah),” katanya.
Semalam, Menteri Kanan Pendidikan Datuk Dr Radzi Jidin berkata sesi pembelajaran selepas cuti hari raya Aidilfitri akan diteruskan dengan Pengajaran dan Pembelajaran di Rumah (PdPR) selama dua minggu bagi menggantikan sesi bersemuka di sekolah.
Sesi pembelajaran itu bermula 16 hingga 27 Mei bagi sekolah kumpulan A (sekolah-sekolah di Johor, Kedah, Kelantan dan Terengganu) dan 17 hingga 28 Mei bagi sekolah kumpulan B (sekolah-sekolah di Perlis, Pulau Pinang, Perak, Selangor, Negeri Sembilan, Melaka, Pahang, Sabah, Sarawak, Kuala Lumpur, Labuan dan Putrajaya) – BERNAMA