Isytihar Darurat, Gantung Parlimen: Masih Ada Pilihan Lain – Najib
Pilihan bukan hanya antara isytihar darurat untuk melawan Covid dengan bubar DUN untuk PRU15.
Masih ada pilihan dan cara lain.
Mengisytiharkan darurat dan menggantung parlimen perlu menjadi pilihan terakhir.
Jika kebimbangan ialah bajet 2021 tidak lulus sehingga kerajaan PN tertumbang maka PN perlu berunding dan berbincang dengan semua pihak agar bajet tidak dibantah.
Lagipun saya percaya tiada ahli parlimen mahu membantah bajet yang dirangka untuk bendung Covid, pulihkan ekonomi dan bantu rakyat pada ketika negara amat memerlukannya.
Sebab ianya hanya akan mengundang kemarahan pengundi terhadap ahli parlimen yang tak sokong – sebagaimana yang berlaku pada RUU bajet tambahan Covid yang diluluskan dalam parlimen pada bulan Ogos lalu.
Begitu juga dengan mana-mana ahli politik atau parti yang memaksa PRU15 berlangsung pada ketika gelombang ketiga Covid masih belum dibendung. Rakyat sudah tentu akan hukum mereka semasa mengundi.
Jika bimbang pilihanraya kecil Batu Sapi, semua pihak lawan perlu umum tidak bertanding dalam PRK Batu Sapi dan biarlah Warisan kekalkan kerusi tersebut. Kita tak mahu gelombang keempat. Utamakan rakyat.
Jika bimbang pilihan negeri Sarawak terpaksa diadakan, kita masih ada masa. Terdapat peruntukan undang-undang yang membolehkan Sarawak tunggu sehingga bulan Jun 2021 untuk bubarkan DUN supaya pilihan raya negeri dilaksanakan pada Ogos 2021 – iaitu hampir 10 bulan kemudian.
Kita perlu ingat bahawa negara sebenarnya menghadapi dua peperangan. Perang melawan Covid dan perang melawan kesan ekonomi yang semakin merudum dan menghimpit rakyat.
Dari segi ekonomi, kita perlu sedar bahawa langkah mengisytiharkan darurat, menggantung perlembagaan dan menggantung demokrasi yang menjejaskan “checks and balances” akan menghantar mesej yang salah kepada pelabur.
Jangan kita menang lawan Covid tetapi ekonomi dan kelangsungan hidup rakyat dikorbankan.
Kita perlu menang kedua-dua perang ini.
Dari segi undang-undang sedia ada untuk melawan Covid, kita sudah cukup dan memadai.
Kita sudah ada undang-undang yang boleh mengarahkan seluruh negara menjalani PKP yang amat ketat sebagaimana bulan Mac lalu.
Dan jika tetap mahu isytiharkan darurat, akta MKN yang diluluskan masa BN membenarkan darurat diisytiharkan untuk kawasan-kawasan tersasar sahaja dan bukan untuk seluruh negara. ia lebih tertumpu dan bantuan juga dapat digerakkan secara tertumpu.
Dari segi politik, saya juga bimbang bahawa langkah untuk mengisytiharkan darurat seluruh negara akan menghantar mesej yang salah kepada pengundi bahawa kerajaan PN adalah sebuah kerajaan yang rapuh, rakus kuasa dan pentingkan diri sahaja.
Saya bimbang persepsi ini akhirnya menjadi langkah memakan diri PN.
Ramai rakyat kurang senang dengan pemerintah yang dianggap rakus kuasa dan hanya mahu kekalkan kuasa sendiri dengan mengorbankan rakyat.
Jika darurat diisytiharkan, sentimen rakyat terhadap pemerintah mungkin berubah menjadi negatif dan pengundi akan mula pertikaikan setiap keputusan pemerintah selepas itu. Kita sudah nampak sentimen ini memuncak pada ketika ini.
Dan jika ekonomi bertambah parah pada masa terdekat, mereka akan salahkan PN sebab isytiharkan darurat.
Akibatnya, pengundi akan tunggu masa untuk menghukum pemerintah pada PRU mendatang.
UMNO dan BN kini berada dalam kerajaan PN dan kita juga akan terkait, terkesan dan disalahkan dalam keputusan darurat ini.
Sebab itu, langkah untuk mengisytiharkan darurat perlulah menjadi pilihan terakhir.
Bagaimanapun, saya harap semua Rakyat akan hormat dan menyokong sebarang keputusan YDP Agong dan Raja-Raja Melayu untuk memelihara kesihatan, keselamatan dan kelangsungan ekonomi. – UMNO ONLINE