PH Perlu Ada Pendirian Sebagai Kerajaan, Maju Dan Memakmurkan Negara – Wee Ka Siong
KUALA LUMPUR, 8 Okt – Ahli Parlimen Ayer Hitam, Datuk Seri Dr Wee Ka Siong berkata semenjak pentadbiran Pakatan Harapan (PH), negara seolah-olah tiada pendirian ekoran pelbagai tindakan yang semakin kucar-kacir .
Katanya, apa yang penting kerajaan PH haruslah menghormati sesama kaum demi untuk memakmur dan mesejahterakan negara.
“Ini bumi kita, tak usahlah bincang pasal tanah kita tapi kita harus menghormati apa yang dikata ‘di mana bumi dipijak di situ langit dijunjung’.
“Ini bumi Malaysia … kita sama-sama majukan dan memakmurkan negara. Negara ini dibentuk hari pertama merdeka dan inilah tempat tumpahnya kesetiaan kita. Jadi bagi kita tempat mencurahkan kasih sayang dan kesetiaan pada negara.
“Mereka yang menjadi wakil kerajaan sepatutnya mempunyai bentuk pendirian setuju atau tidak? Kalau tidak setuju kenapa mereka berdiam diri? Saya pun hairan kenapa kita ditanya, yang penting pendirian kerajaan kerana mereka adalah kerajaan pada hari ini,” katanya kepada media di Parlimen hari ini.
Tambahnya, apa pendirian kerajaan PH tentang apa-apa yang dibincangkan perlu ada.
Mengenai Pilihan Raya Kecil (PRK) Tanjung Piai, Wee memaklumkan Tun Dr Mahathir Mohamad adalah veteran dalam politik dan beliau sudah tentu menggunakan percaturan politik untuk memecah-belahkan parti lawan.
“Tak kiralah apa matlamat dia, apa motif dia bagi kita Barisan Nasional (BN) tetap satu dan akan berdepan dengan cabaran sengit ini kerana kita bukan kerajaan.
“Dia pun sedar semenjak tahun 1981 ia menjadi Pengerusi BN, mekanisme dia macamana tapi sekarang kita tidak terancam dengan Tun dan bagi kita sama ada matlamat ia hendak memecah-belahkan, buat provokasi dan mahukan parti bertanding.”
Katanya, inilah kelebihan yang ditaburkan oleh PH dan mesti ada sesuatu.
“Sebagai pembangkang tidak ada sumber yang lain dan kita kena bersatu padu untuk menghadapi cabaran akan datang,” ujarnya.
Soal beliau, kenapa mereka melengahkan masa PRK ini kerana ia memang taktikal dan taktik politik?
“Kita sedar segala jentera kerajaan akan dikerah dan wang ringgit akan dibelanjakan dan projek-projek akan dilaksanakan di sana.”- UMNO ONLINE