Membina Semula Dan Memperbaiki Asas Perjuangan
BILA UMNO dan PAS bekerjasama, ramai beranggapan ia adalah kerjasama politik untuk berkuasa. Benar, ia adalah salah satu misinya. Untuk membentuk Kerajaan dan memerintah semula, dengan izin Allah. Tetapi, selain kuasa, ia juga harus mempunyai pengertian lain yang lebih besar.
UMNO mesti menggunakan peluang ini untuk memberi nilai dan terjemahan baru kepada perjuangannya.
UMNO harus membangunkan naratif politik baru dengan pemikiran dan nilai Islami. Ini tidak bermakna ideologi kebangsaan yang selama ini menjadi nadi UMNO telah lapuk dan tidak lagi relevan dan bernilai.
Tetapi, perubahan konteks, modenisasi, globalisasi serta demografi masyarakat menyaksikan bahawa perjuangan kebangsaan tanpa Islam tidak akan membawa UMNO ke mana-mana. Malah, ia tidak akan membawa orang Melayu dan umat Islam ke mana-mana.
Orang Melayu dan umat Islam memerlukan UMNO yang Islami kerana orang Melayu boleh unggul tanpa UMNO. Tetapi orang Melayu akan lemah dan tersasar tanpa Islam.
UMNO dan ideologi kebangsaannya harus bersifat sezaman. Ia harus dicorak dan diselaraskan dengan keperluan dan tuntutan yang bukan sahaja selari dengan kehidupan hari ini, tetapi dibaluti dengan nilai Islam yang segar, bersumberkan wahyu dan dipersembahkan dalam kerangka demokrasi yang progresif.
Pilihan UMNO mungkin apa yang saya namakan ideologi Melayu Islam Demokratik (MID). Kenapa saya merasakan ini jalan ke hadapan untuk UMNO, untuk orang Melayu dan umat Islam.
Pertama, kerana ideologi kebangsaan tidak pernah bercanggah dengan Islam. Mengasihi bangsa dan tanah air, adalah sebahagian dari apa yang digambarkan sebagai ‘Hubbul Wathan Minal Iman’.
Maknanya, mencintai dan membangunkan tanah air dan bangsa itu, adalah sebahagian dari iman. Senafas dan sealiran. Agama dan nasionalisme mesti saling memperkuat dalam membangun bangsa dan negara. Dua unsur ini tidak dapat dipisahkan dari satu sama lain.
Agama Islam memerlukan tanah air sebagai medan dakwah dan penyebaran syiarnya. Tanah air pula memerlukan siraman nilai-nilai agama agar tidak tandus dan kering dengan pedoman.
Agama tanpa nasionalisme akan menjadi ekstrem. Sedangkan nasionalisme tanpa agama akan kering dan lohong. Jika agama dimaksudkan sebagai jalan hidup, maka agama mesti berperanan dalam realiti kehidupan.
Dan realitinya ialah, setiap manusia itu memiliki kecintaan semula jadi kepada tanah airnya. Sehingga ia berasa aman menetap di dalamnya, selalu merindukannya ketika berjauhan, mempertahankannya ketika diserang dan akan marah apabila tanah airnya dicela.
Kedua, nilai kebangsaan memerlukan nilai tambah. 70 tahun dulu, ideologi kebangsaan digelorakan untuk mengusir penjajah dan menuntut kemerdekaan. Setelah 60 tahun memerintah, kita telah mengisi kemerdekaan ini dengan semangat nasionalisme yang tulen. Tetapi UMNO harus wujud seumur masa. Lalu apa lagi lonjakan baru yang lebih aula dalam ideologi kebangsaannya jika bukan disulami
dengan Islam?
Selepas memberikan bangsa ini sebuah tanah air dan asas untuk menyubur patriotisme yang sejati, UMNO kini harus mempersembahkan pula Islam. Bukan sekadar melaung atau mendakwa Islam itu nadi perjuangannya.
Dan bila kita mengungkap ideologi kebangsaan yang Islami, ia mesti bersandarkan nilai Islam yang sebenar. UMNO tidak boleh sekali-kali menggunakan Islam sebagai modal demi kepentingan politik.
Tetapi UMNO harus mempersembahkan Islam dengan segala hikmah dan nilai kebaikan agama ini dalam konteks dan amalan bernegara. Lebih-lebih lagi kepada Malaysia yang majmuk.
UMNO mesti menggali samudera hikmah dalam Islam dan segala sumbernya, untuk memberikan jalan penyelesaian kepada segala macam masalah yang dihadapi oleh Malaysia dan penduduknya. Malah, merekayasa pemikiran dan ideologi politiknya.
Insya-Allah, melalui pemikiran dan ideologi politik bersumberkan wahyu dan Islam, akan terbit kecerdasan baru dalam merumus pelbagai dasar unggul, adil dan inklusif.
Akhirnya akan terjelmalah parti politik yang bukan sahaja mempunyai keupayaan tadbir urus baik, telus dan demokratik. Tetapi mampu mempersembahkan Islam sebagai jalan kehidupan, pentadbiran dan kemasyarakatan yang sederhana dan moden.
Ketiga, meletakkan Islam sebagai tunjang kebangsaan akan menyumbang kepada pembangunan ideologi politik Melayu yang sangat demokratik dan memperjuangkan keadilan sosial.
Dalam konteks demokrasi berperlembagaan, saya yakin, Islam akan berupaya menjadikan UMNO sebuah parti yang didukung oleh orang Melayu yang lebih rasional, bertimbang rasa, telus dan moden.
Malaysia ialah negara yang demokratik. Sumber kekuatan sebenarnya adalah pada rakyat dengan dipandu oleh Perlembagaan. Maka, membelakangkan sistem yang telah sebati dan berfungsi dengan baik di Malaysia pastilah bukan pilihan yang cermat. Malah, sangat tersasar.
Justeru jalan yang sebaik-baiknya ialah menterjemahkan segala hikmah Islam itu dalam rangka demokrasi dengan amalan yang demokratik.
UMNO mesti menggunakan kerjasamanya dengan PAS untuk mengemukakan pemikiran politik yang meyakinkan orang Melayu dan bukan Melayu.
Orang Melayu memerlukan jaminan bahawa ideologi politik UMNO tidak akan membelakangkan nilai kebangsaan dan pada waktu yang sama mengangkat Islam ke tahap yang sewajarnya.
Yang bukan Melayu pula, ingin sekali melihat UMNO terus mendukung demokrasi dan amalan bernegara yang demokratik dengan kecerdasan pemikiran yang luar biasa.
Bukanlah mudah untuk menterjemahkan ini semua. Tetapi kesederhanaan yang ditunjukkan oleh UMNO selama lebih 60 tahun memerintah, pastinya telah menyediakan UMNO dengan segala keperluan untuk meneroka jalan baru yang lebih unggul.
Dan jalan itu ialah politik Melayu Islam Demokratik. Ini jalan masa hadapan yang akan menyeru kebangkitan dengan nilai dan makna sebenar. UMNO tidak boleh kekal di takat lama. Setidak-tidaknya, bukan dengan sekadar agenda Melayu dan hidup Melayu.
Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin
Naib Presiden UMNO