Kredibiliti Peguam Negara Mencalar Institusi Jabatan Peguam Negara
KUALA LUMPUR, 3 Jun – Tommy Thomas mencalarkan kredibiliti institusi Jabatan Peguam Negara susulan campur tangan secara terbuka dalam kes anggota bomba Muhammad Adib Mohd Kassim yang terbunuh dalam rusuhan di Kuil Sri Maha Mariamman, Seafield, tahun lepas, tegas Ketua Penerangan UMNO Malaysia, Datuk Dr Shamsul Anuar Nasarah.
Katanya, tindakan beliau nampak begitu jelas, menerusi langkah Jabatan Peguam Negara memfailkan afidavit dari awal lagi bahawa kematian arwah Adib bukan disebabkan dipukul sedangkan punca kematian belum diputuskan oleh mahkamah.
“Malah jelas wujud perbezaan pendapat antara Peguam Negara dan perakuan Polis Selangor bahawa kes Adib adalah kes bunuh,” katanya dalam kenyataan media, hari ini.
Pada masa sama, katanya, penjelasan Tommy Thomas kenapa Syazlin Mansor patut menarik diri sebagai peguam mewakili Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia, Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan dan keluarga Allahyarham Adib dalam inkues, membuktikan ada “campur tangan” terus dari pejabat Peguam Negara.
“Situasi ini telah mengakibatkan rakyat musykil mengenai ketelusan perbicaraan kes ini.”
Jelas beliau, difahamkan polis telah memutuskan Allahyarham Adib dibunuh, suspek-suspek yang terlibat telahpun dikenalpasti.
“Namun Pejabat Peguam Negara memilih untuk diadakan inkues bagi mencari punca kematian Adib berbanding perbicaraan.
“Ironinya di pertengahan jalan inkues, keluar arahan supaya peguam yang mewakili kepentingan keluarga Adib diarah tarik diri?
“Apakah bentuk “sandiwara” yang sedang cuba diperlihatkan kepada negara dan dunia?”
Bidas beliau, campur tangan sebegini menampakkan Jabatan Peguam Negara Malaysia umpama sebuah jabatan “flip-flop” dan seolah-olah dipengaruhi.
“Situasi ini akan mengakibatkan sistem keadilan Malaysia dipandang negatif oleh dunia perundangan antarabangsa dan keadaan ini amat tidak baik kepada negara.
“Secara lumrahnya, amat jarang Peguam Negara tidak bersetuju dengan perakuan Polis Di Raja Malaysia, khususnya dalam kes jenayah melibatkan pembunuhan. Bagaimanapun dalam kes kematian Allahyarham Adib, ia berlaku sebaliknya.”
Katanya, menilai kes ini dan beberapa kes lain sejak Kerajaan PH mengambil alih pemerintahan negara ini.
“Timbul keraguan terhadap kewibawaan Peguam Negara. Pasti menimbulkan persoalan, apakah rakyat Malaysia masih boleh mengharapkan wujud keadilan dan keluhuran undang-undang di negara ini?
“Justeru ini kita minta Jabatan Peguam Negara tidak bertindak sesuatu yang menyebabkan rakyat hilang keyakinan terhadapnya,” katanya yang juga Ahli Parlimen Lenggong. – MediaUMNO