“Berat Sungguh Tuduhan Saudara” – Azhari


SHAH ALAM, 4 Feb – Pandangan seorang pemimpin dari parti pemerintah yang mengatakan kerjasama UMNO dan PAS sebagai berbahaya untuk sebuah negara majmuk adalah pandangan yang jumud, bidas Ketua UMNO Bahagian Shah Alam, Datuk Azhari Shaari.

Soalnya, adakah individu tersebut sememangnya seorang Melayu yang mudah lupa apabila sudah selesa mendapat pangkat sebagai pemegang dana pendidikan negara.

“Ingatlah saudara setiap makhluk Allah mahupun organisasi ada tarikh luputnya. Kesabaran orang Melayu jangan diuji kelak tidak dapat ditempuh bak tsunami ICERD.

“Bercakap biarlah berfikir jangan menjadi seperti anjing menyalak bukit. Apa hak kamu menuduh UMNO yang memajukan negara ini dan membantu rakyat selama 61 tahun sebagai merbahaya,” tegasnya dalam satu kenyataan di Facebooknya.

Tambahnya, begitu juga dengan tuduhan gabungan UMNO dan PAS sebagai merbahaya untuk masyarakat berbilang kaum.

“Negeri Kelantan dan Terengganu dipimpin oleh PAS. Pernahkah kamu mendengar orang Cina dan India ditindas hingga hidup susah di kedua negeri itu.

“Di Pahang dan Perlis ditadbir oleh Barisan Nasional (BN), pernahkah kamu terdengar orang bukan Melayu hidup menderita dari sudut ekonomi dan sosial,” tanyanya lagi.

Bukan itu sahaja, malahan terdapat segelintir pihak yang menghantar ‘posting’ nakal di media sosial di negeri Pahang untuk menyakitkan hati orang Melayu.

“Itu yang anda katakan UMNO dan PAS yang merbahaya. Berat sungguh tuduhan saudara.

“Harap ditarik balik segera sebelum ia mencetuskan keresahan antara kaum dan agama. Berfikirlah saudara. Saya menunggu,” gesanya lagi. – Media UMNO

@umnoonline

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.