Takut Kalah Dan Hilang Kuasa, PH Terdesak Ugut Pengundi – Shahaniza


JELAI, 20 Jan – Ketua UMNO Bahagian Maran, Datuk Seri Shahaniza Shamsuddin terkilan dengan budaya kempen kerajaan Pakatan Harapan (PH) yang mengamalkan politik ugut-mengugut.

Bidasnya, tindakan yang dilakukan oleh pemimpin PH itu juga menyerlahkan sikap mereka yang seolah-olah terdesak untuk memenangi pilihan raya serta takut kehilangan kuasa.

“Saya rasa dukacita dengan ‘trend’ kempen Pakatan Harapan yang seolah-olah macam terdesak bukan sahaja menggunakan jentera kerajaan, itu kita fahamlah tapi mereka juga suka mengeluarkan kenyataan-kenyataan yang seolah-olah mengugut pengundi-pengundi.

“Jadi saya rasa ini satu ‘trend’ kempen yang tidak sihat tapi walau bagaimanapun saya yakin para pengundi di Cameron Highlands ini termasuk pengundi Orang Asli memahami dan diorang sendiri dapat menilai,” katanya kepada UMNO-Online.

Beliau berkata demikian apabila melihat kempen PH di dalam Pilihan Raya Kecil (PRK) Cameron Highlands yang menyerlahkan sikap beberapa pemimpin mereka yang mengamalkan budaya ugut-mengugut, contohnya seorang senatornya yang mahu membatalkan elaun tok batin serta menteri kabinetnya yang berkata tiada projek pembangunan di kawasan tersebut sekiranya pengundi tidak memilih calon mereka.

Tetapi, seperti biasa pemimpin PH akan membuat ‘u-turn’ atau menafikan kenyataan mereka sendiri.

Sehubungan itu ujar Shahaniza lagi, mungkin dengan membuat kenyataan demi kenyataan yang mengugut itu mampu membuatkan pengundi merasa gentar untuk memilih selain calon PH.

“Jadi, ugutan-ugutan ini saya kira mungkinlah pada mulanya membuatkan mereka rasa gentar terutama masyarakat Orang Asli yang mana kita tahu tok batin diugut jika tidak memberi sokongan kepada Pakatan Harapan, tiada elaun dan macam-macamlah.

“Saya dengar perdana menteri nak panggil tok-tok batin ini saya tak tahulah ada lagi dia nak ugut, jadi saya harap jentera Pakatan Harapan dan menteri-menteri Pakatan Harapan ini dapat menghentikan (budaya mengugut),” tegasnya.

Justeru tambah Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kuala Sentul itu lagi, perkara sedemikian tidak seperti yang PH sendiri perjuangkan dahulu kononnya rakyat perlu diberi kebebasan untuk memilih.

“Kalau dulu mereka mengatakan bahawa rakyat diberi kebebasan untuk membuat pilihan, sekarang kenapa mereka takut.

“Kalau mereka betul-betul sebuah kerajaan yang bertanggungjawab, sebuah kerajaan yang dapat melaksanakan apa yang dia kata jadi saya rasa dia tak perlu takut, tak perlu nak ugut,” bidas Exco Kerajaan Negeri Pahang itu lagi.

Ini berbeza dengan kerajaan BN yang tidak mengamalkan budaya terdesak tersebut, katanya.

“Kitapun tak perlu ugut pun… (contohnya) macam sekarang ini bagi duit RM100 sekolah pun saya dapat laporan duit RM100 mesti diserahkan oleh pemimpin-pemimpin Pakatan Harapan, kita dulu guru besar jer bagi, kita tak takut pun.

“Jadi diorang ni macam takut sangatlah kehilangan kuasa dan pengaruh dan saya rasa itu sebenarnya bukan satu tindakan yang menguntungkan tapi merugikan, tapi takpe.. menguntungkan kita Barisan Nasional,” ujarnya. – Media UMNO.

@umnoonline

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.