UMNO Perak Sahkan Ada Cubaan Untuk ‘Membeli’ Adun BN Bagi Gulingkan MB Perak

SUNGAI SIPUT, 26 Nov – Pengerusi Badan Perhubungan UMNO negeri Perak Datuk Saarani Mohamad mengesahkan ada pihak yang cuba menawarkan pelbagai tawaran kepada ADUN Barisan Nasional (BN) bagi ‘menggulingkan’ Menteri Besar Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu sekaligus akan terjadinya Pilihan Raya Negeri (PRN).

Jelas beliau, perkara ini cukup serius namun semua 25 ADUN BN telah berikrar tidak akan sama sekali mengkhianati parti.

“Kerajaan Negeri Perak sekarang tidak kukuh, mereka sedang bergaduh sesama sendiri. Saya juga mendapat laporan 25 ADUN BN sedang ditawarkan pelbagai tawaran bagi menyokong usul tidak percaya kepada Menteri Besar yang akhirnya akan berlakukan PRN.

“18 ADUN Dap, enam ADUN Parti Amanah Negara (AMANAH) dan empat PKR akan menyokong, manakala tiga ADUN iaitu Ahmad Faizal sendiri, Datuk Nolee Ashilin Mohamed Radzi dan Datuk Zainol Fadzi Paharuddin, tidak akan menyokong.

“Ini bermakna 28 ADUN akan menyokong undi tidak percaya, tetapi tidak cukup untuk membentuk kerajaan, sebab itu mereka perlukan (sekurang-kurangnya) dua daripada ADUN UMNO (menyokong usul itu) (bagi membolehkan mandat majoriti mudah 30 ADUN).

“Tapi ADUN BN telah berjanji kepada saya mereka tidak akan ikut kerana kita ada cara untuk rampas kembali kepimpinan negeri Perak tapi bukan dengan cara mengkhianati,” ujar beliau kepada UMNO-Online.

Tambah Saarani yang juga Ketua Pembangkang Perak, pihaknya tidak akan mencampuri pertelingkahan yang berlaku dalam kerajaan negeri, tetapi percaya krisis politik ketika pemerintahan kerajaan Pakatan Rakyat pada 2009 akan berulang.

Dalam krisis 2009, kerajaan Pakatan Rakyat hanya bertahan selama sembilan bulan selepas dua ADUN PKR dan seorang ADUN Dap mengisytiharkan keluar parti dan menyokong BN. – MediaUMNO

Dapatkan segala pautan dan media sosial UMNO di www.linktr.ee/umno #UMNOBangkit