Kombinasi Muka Lama Dan Baru MT Antara Ramuan UMNO Bergerak Ke Depan – Shamsul
KUALA LUMPUR, 11 Julai – Ahli Majlis Tertinggi UMNO, Datuk Dr Shamsul Anuar Nasarah penuh yakin dan percaya Majlis Tertinggi parti yang dibarisi muka baru dan muka lama bakal memberi kekuatan padu kepada parti dalam usaha menongkah arus kebangkitan perjuangan.
Menurut beliau kombinasi terbabit sebenarnya satu ramuan yang amat bermakna dan cukup berharga buat parti untuk semua ahli dan pemimpin di pelbagai peringkat memainkan peranan masing-masing untuk kelangsungan parti.
“Alhamdulillah… apa yang kita nampak hari ini barisan Majlis Tertinggi ada yang lama dan turut dibarisi muka-muka baru yang mana pada saya masing-masing ada kelebihan dan kekuatan serta keistimewaan yang tersendiri.
“Adunan yang kepelbagaian ini sudah pasti dan tentunya satu kelebihan kepada kita semua khususnya dalam merangka gerak kerja dan merancang langkah seterusnya sekaligus menyusun perjalanan yang terbaik untuk seluruh ahli parti pelbagai peringkat turut sama bangkit kembali.
“Inilah masanya dan inilah waktunya untuk kita sama-sama berganding bahu. Yang lama dan yang baru insya-Allah kita akan terus bergandingan agar rakyat terus terbela dan UMNO terus bangkit untuk kepentingan bersama,” katanya.
Pemilihan UMNO sebelum ini menyaksikan barisan ahli Majlis Tertinggi dan kepeimpinan peringkat tertinggi parti dengan gabungan antara muka lama dan juga muka baru.
Shamsul seterusnya menegaskan secara keseluruhannya bukan sahaja barisan Majlis Tertinggi malah barisan sayap parti juga memperlihatkan satu keyakinan yang cukup ampuh untuk parti bergerak dengan tersusun ke depan dalam mengharungi gelombang dan gelora.
“Dengan kombinasi yang padu di semua peringkat di akar umbi iaitu bahagian dan cawangan, insya-Allah UMNO boleh bangkit dan mengharungi pelbagai cabaran yang mendatang sekaligus melaksanakan tanggungjawabnya dalam kerangka parti politik yang tersendiri,” katanya lagi. – MediaUMNO