Angka Hutang Negara, Kos Projek HSR Tidak Tepat – Najib
KUALA LUMPUR, 2 Jun – Bekas Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak mempersoalkan angka yang diumumkan Menteri Kewangan Lim Guan Eng berkaitan dengan hutang negara dan kos projek Kereta Api Berkelajuan Tinggi Singapura-Kuala Lumpur (HSR) , dengan mendakwa angka itu tidak tepat.
Najib dalam catatan di laman Facebooknya berkata, beliau melihat langkah Lim itu sebagai satu permainan politik dengan “anggaran angka tanpa maklumat mencukupi” untuk menjadikannya sebagai alasan kerana tidak dapat menunaikan manifesto Pakatan Harapan mengikut tempoh yang dijanjikan.
Beliau berkata menteri kewangan sesebuah negara perlu menyediakan angka yang tepat kerana pasaran kewangan bergantung kepada angka-angka ini dalam keputusan mereka.
“Angka yang tepat juga perlu diberikan agar tidak mengelirukan rakyat,” katanya.
Najib juga menyalahkan maklumat yang tidak tepat ini sebagai faktor yang memacu dana asing keluar dari pasaran tempatan.
“Akibat daripadan perkara yang tidak sepatutnya ini, pasaran saham mengalami aliran keluar asing selama 18 hari berturut-turut,” katanya.
Beliau juga menggesa kerajaan baharu untuk mengekalkan fokus melindungi pertumbuhan ekonomi, pekerjaan dan kestabilan kewangan negara.
“Beberapa bulan lepas, Bank Dunia dan Tabung Kewangan Antarabangsa melaporkan Malaysia yang dipimpin Barisan Nasional dijangka mencapai status negara berpendapatan tinggi seawal dalam masa tiga tahun.
“Kerajaan Pakatan Harapan perlu memastikan kita berada di landasan untuk mencapai sasaran ini,” katanya.- Bernama