Tak Mahu Jatuh Dalam Perangkap PH, Lagi Banyak Bercakap, Lagi Banyak Buat Hal

TANAH RATA, 26 Jan – Sepanjang dua minggu kempen Pilihan Raya Kecil (PRK) Cameron Highlands berlangsung, calon Barisan Nasional, Ramli Mohd Nor tidak banyak bercakap dan antara calon yang dilihat susah didekati media.

Bagaimanapun, Ramli, 61, bekas pegawai kanan Polis Diraja Malaysia, hari ini menjelaskan beliau sebenarnya bukan tidak suka kepada media, sebaliknya mempunyai sebab tersendiri untuk berbuat demikian.

“Penjelasan saya mudah kenapa saya buat keputusan untuk kurang bercakap. Saya tak mahu jatuh dalam perangkap Pakatan Harapan (PH).

“Ada peribahasa Melayu yang mengatakan ‘lagi banyak awak bercakap lagi banyak awak buat hal’,” katanya kepada pemberita di luar Sekolah Kebangsaan Menson, dekat sini, satu daripada pusat mengundi PRK berkenaan.

PRK berkenaan yang diadakan selepas Mahkamah Pilihan Raya pada 30 Nov lalu mengisytiharkan kemenangan Datuk C. Sivarraajh daripada BN dalam Pilihan Raya Umum ke-14 bagi parlimen itu, terbatal dan tidak sah, menyaksikan pertandingan empat penjuru antara calon Pakatan Harapan dan BN serta dua calon bebas.- BERNAMA