Pesta Arak Dan LGBT – Gesa Siasatan Segera, Menyeluruh Dijalankan – Mohd Asna

KUALA LUMPUR, 20 Julai – Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Lenggeng, Datuk Mohd Asna Amin merasa amat dukacita serta kecewa terhadap laporan berkenaan satu pesta arak dan aktiviti LGBT yang dilaporkan baru-baru ini.

Katanya, perkara ini bukan sahaja mengejutkan umat Islam, malah ia mencalarkan maruah dan akidah sebagai sebuah negara yang menjunjung Islam sebagai agama Persekutuan.

“Apa yang berlaku adalah penghinaan kepada syiar Islam, mencemarkan imej negeri dan boleh mendatangkan kemurkaan Allah SWT. Saya mendesak siasatan segera dan menyeluruh dilakukan oleh pihak berkuasa.

“Siapa individu-individu terlibat? Apakah latar belakang mereka? Bagaimana mereka boleh terjerumus dalam nafsu songsang? Bagaimana mereka boleh saling berhubung dan berani menganjur pesta maksiat sedemikian? Siapa penganjur?

“Apakah puncanya dan adakah ia pengaruh video lucah? Bahan khayal? Kandungan vape yang mengandungi dadah atau faktor keruntuhan moral akibat kurangnya bimbingan agama?” katanya menerusi satu hantaran di Facebooknya.

Mengulas lanjut, Asna yang juga Naib Ketua UMNO Bahagian Seremban menyeru agar Kerajaan Negeri Sembilan di bawah pentadbiran Kerajaan Perpaduan memperkasakan pendidikan agama melalui Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Negeri Sembilan (JHEAINS).

“Perkasakan pendidikan agama melalui
perbanyakkan aktiviti di masjid serta surau dan sekolah, agar pengaruh songsang ini dijauhi dari pemerintahan Negeri Sembilan di bawah Menteri Besar Negeri Sembilan, Datuk Seri Aminuddin Harun.

“Program kesedaran dan pendidikan mengenai bahaya gaya hidup songsang wajib diteruskan dengan pendekatan dakwah, psikologi dan pemulihan yang berkesan. Usaha membanteras budaya hedonisme, dadah dan hiburan liar mesti dipertingkatkan, terutama dalam kalangan anak muda,” katanya lagi.

Pada masa sama Asna harap penduduk khususnya di sekitar DUN Lenggeng untuk memberi laporan terus kepadanya sekiranya mengetahui sebarang aktiviti yang mencurigakan atau berunsur maksiat.

“Kepada semua penduduk Lenggeng, sekiranya mengetahui sebarang aktiviti mencurigakan, sila lapor terus pada saya atau pihak berkuasa agama. Tanggungjawab ini merupakan usaha kita bersama untuk mencegah kemungkaran dan memelihara iman masyarakat.

“Semoga kita tidak termasuk dalam golongan yang membiarkan kemungkaran sehingga bala Allah menimpa seluruh umat,” ujarnya.  – UMNO Online

Dapatkan segala pautan dan media sosial UMNO di www.linktr.ee/umno #UMNOBangkit #UMNO79