UMNO Kalah Bukan Sebab Musuh Kuat… Tetapi Kelemahan Dalaman Parti
TAMPIN, 19 Julai – Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi mengingatkan para perwakilan bahawa kekalahan parti pada Pilihan Raya Umum (PRU) ke-14 dan ke-15 bukan berpunca daripada kekuatan parti lawan, sebaliknya akibat kelemahan dan perpecahan dalaman UMNO sendiri.
Beliau yang juga Timbalan Menteri berkata, antara punca utama kekalahan itu adalah daripada sikap segelintir pemimpin dan ahli parti yang saling menyerang sesama sendiri.
“Kenapa kita kalah pada Pilihan Raya Umum (PRU) ke 14 dan 15? Adakah ketika itu parti pembangkang atau musuh politik kita kuat? Tidak kuat… tetapi kerana kita lemah. Kenapa kita lemah? Sebab kita ‘tembak’ sesama sendiri.
“Adakah duit menjamin kemenangan kita? Tidak. Peruntukan ada tapi kita tidak menang dan lemah. Ketika itu gelombang kebencian semakin membara malah ahli parti tidak menangkis dan viralkannya. Akhirnya api kebencian itu semakin membarah.
“Dua kali Allah SWT menguji ahli UMNO pada PRU ke- 14 dan 15. Itu adalah amaran dan kini kita akan menghadapi beberapa siri PRN, diikuti PRU ke-16. Takkan kita nak kecundang dan berlaga sesama sendiri lagi? Cukup-cukuplah… Mari kita bersama-sama menegakkan keutuhan, penyatuan pemikiran, hati nurani dan tindakan,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika merasmikan mesyuarat perwakilan UMNO Bahagian Tampin di Dewan Perdana Tampin.
Tegas Pengerusi Barisan Nasional (BN) itu lagi, beliau mahukan kemenangan yang cukup ‘enak’ di Tampin dan turut yakin bahawa Dewan Undangan Negeri (DUN) Gemas dapat dirampas semula.
Mengulas lanjut beliau berkata, keyakinan itu berasaskan semangat dan kesungguhan yang ditunjukkan oleh kepimpinan UMNO di peringkat bahagian, terutamanya di Tampin dan Negeri Sembilan.
“Saya yakin UMNO akan kembali dominan semula dalam politik tanah air pada PRU ke-16 dan kita mesti bijak bertindak dalam perkara ini. Tampin dan Negeri Sembilan boleh bertindak sedemikian maka semangat ini akan tertanam di negeri-negeri lain.
“Kita tutup buku lama dan buka buku baharu. Yakinlah bahawa Ketua UMNO Bahagian Tampin, Datuk Mohd Isam Mohd Isa boleh buat yang terbaik dan Insya-Allah, kejayaan akan memihak kepada UMNO/BN. Bukan sahaja di Tampin, malah UMNO di bahagian-bahagian lain akan terus kuat dan menang pada pilihan raya akan datang,” katanya lagi.
Turut hadir Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Negeri Sembilan, Datuk Seri Jalaluddin Alias, Ketua UMNO Bahagian Tampin, Datuk Mohd Isam Mohd Isa dan Ketua UMNO Bahagian Kuala Pilah, Datuk Ismail Lassim
Hadir sama Ketua UMNO Bahagian Jempol, Datuk Mustapa Nagoor, Ketua UMNO Bahagian Port Dickson, Datuk Mohd Faizal Ramli, ADUN-ADUN kerajaan Negeri Sembilan dan para pemimpin empat peringkat bahagian. – UMNO Online