‘Tingkatkan Tahap Kesedaran, Amal Gaya Hidup Sihat’, Pesan Jalaluddin

JELEBU, 13 Dis – Ahli Parlimen Jelebu, Datuk Seri Jalaluddin Alias berharap rakyat khususnya di kawasannya untuk terus mengamalkan gaya hidup sihat bagi menghindari penyakit berbahaya yang kelak akan membawa mudarat.

Beliau yang juga Exco Kanan Kerajaan Negeri Sembilan dan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pertang, berkata demikian ketika ke Pejabat Kesihatan Daerah Jelebu di sini bagi mendengar taklimat daripada Pegawai Kesihatan Daerah.

Pada pertemuan tersebut pelbagai aspek disentuh membabitkan pembangunan kesihatan di daerah berkenaan termasuk melaksanakan Dasar Literasi Kesihatan Kebangsaan (DLKK) agar dapat diaplikasi sebaiknya.

“Taklimat ini membolehkan saya untuk menerima maklumat terkini berkaitan agenda pemerkasaan kesihatan masyarakat di daerah ini.

“Semestinya, segala agenda yang direncana harus mendasari DLKK yang merupakan sebahagian daripada inisiatif Agenda Nasional Malaysia Sihat (ANMS) yang bertujuan meningkatkan tahap kesedaran kesihatan dalam kalangan rakyat,” kata Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Negeri Sembilan itu menerusi satu hantaran di laman Facebook dan akaun X.

Justeru, Jalaluddin berharap lebih ramai masyarakat di Jelebu akan mengamalkan budaya hidup sihat dan secara tidak langsung dapat mengurangkan kadar penyakit.

Dalam status berlainan, Jalaluddin juga mengambil peluang melawat fasiliti kesihatan di bawah Pusat Kesihatan Daerah Jelebu.

“Ramai juga masyarakat datang dapatkan perkhidmatan kesihatan di Klinik Kesihatan Jelebu ni. Tandanya service klinik kesihatan kita memang bagus.

“Sebagai wakil rakyat, saya harap service premis kesihatan kerajaan sentiasa perfect dan ikut SOP (prosedur operasi standard). Good job team PKD Jelebu,” ujarnya. – UMNO Online


Dapatkan segala pautan dan media sosial UMNO di www.linktr.ee/umno #UMNOBangkit