Kestabilan Politik Dan Kemakmuran Dapat Dicapai Dari Kerajaan Perpaduan – Ir Abdul Aziz

SEREMBAN, 30 Dis – Ketua Pemuda UMNO Negeri Sabah, Datuk Ir Abdul Aziz Julkarnain berpandangan kerajaan perpaduan ini sangat mustahak untuk rakyat Malaysia kerana pada Pilihan Raya Umum (PRU) 14 negara ini banyak disajikan dengan pertukaran Perdana Menteri dan kerajaan.

Ini kerana katanya, paling penting apabila ditubuhkan kerajaan perpaduan ini adalah mahukan kestabilan dan kemakmuran dapat dicapai oleh negara.

“Sememangnya apabila Barisan Nasional (BN) memasuki PRU15 ingin menekankan bahawa kestabilan itu sangat penting. Kita perlu capai kestabilan politik agar kemakmuran dapat dicapai.

“Walaupun UMNO/BN tidak bernasib baik dalam PRU 15 dan tidak menjadi satu kerajaan yang mutlak dan dominan namun atas kesedaran bahawa perlu sama-sama membantu kerajaan perpaduan sepertimana dititahkan oleh Yang di- Pertuan Agong (YDPA) agar diwujudkan satu kerajaan perpaduan.

“Sebelum ditubuhkan kerajaan perpaduan, UMNO/BN memohon agar dikecuali namun akibat keengganan Perikatan Nasional (PN) untuk mewujudkan kerajaan perpaduan maka parti ini menyahut saranan yang dititahkan oleh YDPA,” katanya kepada UMNO Online, di sini.

Beliau yang juga Ketua Pemuda UMNO Bahagian Kota Kinabalu mengharapkan kerajaan perpaduan ini dapat melaksanakan pelbagai strategi bagi menghadapi krisis global ekonomi pada tahun depan.

“Saya fikir kerajaan perpaduan ini dapat mengekalkan kestabilan, ekonomi dan negara ini terus maju terutamanya pada tahun hadapan dijangkakan krisis global ekonomi yang akan terkena pada seluruh dunia dan tidak mahu kerana ketidakstabilan politik, rakyat maka kerajaan ini akan mendapat kesusahan dengan krisis ini.

“Dalam menghadapi persekitaran global mencabar, kerajaan harus menyediakan bantuan serta sokongan yang relevan kepada rakyat dan perniagaan. Ini berteraskan kesejahteraan dan kebajikan rakyat meliputi segenap lapisan masyarakat khususnya kumpulan B40 dan M40,” ujarnya.

Terdahulu, Bank Dunia dan Tabung Kewangan Antarabangsa (IMF) memberi peringatan bahawa ekonomi global berdepan kemelesetan pada tahun hadapan susulan tindakan bank pusat di seluruh dunia secara serentak menaikkan kadar faedah, selain pencerobohan Russia ke atas Ukraine. – UMNO Online


@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.