Terima Kasih Pimpinan BN… Bekerja Lebih Gigih Memenangi Hati Dan Menyelesaikan Masalah Rakyat – Dr Shamsul Anuar

KUALA LUMPUR, 11 Dis -Ahli Parlimen Lenggong, Datuk Seri Dr Shamsul Anuar berkata sebagai ahli parti beliau akan akur dengan apa yang diputuskan oleh parti.

Sehubungan itu, beliau yang juga Ahli Majlis Kerja (MKT) UMNO akan berkhidmat dengan sebaiknya dengan amanah yang diberikan setelah dilantik sebagai Timbalan Menteri Dalam Negeri di dalam kerajaan perpaduan hari ini.

“Bila diberikan amanah, insyallah saya akan berkhidmat dengan jujur dan amanah demi negara serta rakyat tercinta, biar dimanapun kedudukannya.

“Paling utama jangan sesekali lupa… kita adalah hamba Allah. Yakinlah, semua ini adalah atas kehendakNya. Dia yang mengatur segalanya.

“Kerana itu sebagai pejuang parti, saya akan patuh dan akur dengan apa yang diputuskan,” katanya menerusi catatan di Facebook.

Dalam pada itu beliau turut merakamkan ucapan terima kasih kepada Perdana Menteri yang memberikan kepercayaan kepadanya di dalam pembentukan kerajaan perpaduan pasca PRU-15.

“Saya juga rakamkan ucapan terima kasih kepada Perdana Menteri kerana memberikan kepercayaan kepada saya. Pastinya kepada YAB Presiden UMNO, Timbalan Perdana Menteri dan Barisan Nasional kerana telah mencalonkan saya.

“Kepada Menteri Besar Perak yang juga Pengerusi BN Lenggong dan seluruh pimpinan Barisan Nasional serta pengundi saya Kawasan Parlimen Lenggong saya rakamkan penghargaan terima kasih. PRU15 adalah isyarat agar kita mesti bekerja dengan lebih gigih memenangi hati serta menyelesaikan masalah rakyat. Saya yakin jika kita bersama rakyat, rakyat akan bersama kita.

“Lebih dari itu saya amat memahami situasi politik yang sudah begitu berubah, tidak sebagaimana dulu lagi. Justeru kita mesti bertindak secara bijaksana agar Barisan Nasional kekal dan kembali bangkit.Terima kasih kepada semua yang memberikan sokongan dan ucapan tahniah kepada saya. Sokongan semua amat saya hargai,” ujarnya.- UMNO Online

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.