PRU15 Tentang Kestabilan Dan Kemakmuran, Ayuh BN Fokus Masa Depan Negara – Ahmad Zahid

KUALA LUMPUR, 3 Nov – Pengerusi Barisan Nasional (BN) merangkap Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi menyeru anggota parti untuk terus mara dan fokus bagi mendepani Pilihan Raya Umum (PRU) ke-15.

Ini kerana katanya, PRU15 adalah tentang masa depan negara dan lebih penting adalah tentang masa depan generasi akan datang, maka ia adalah peluang dan harapan terbaik untuk mengembalikan kestabilan dan kemakmuran di bumi Malaysia.

“Ayuh BN terus mara dan fokus ke hadapan bersama semangat dan keazaman untuk menggamit kebangkitan mutlak pada PRU15. Usah menoleh kerana kita sedang membawa wadah besar BN untuk mengembalikan kestabilan dan kemakmuran. Itulah jua janji BN kepada rakyat dan negara.

“Kibarkan panji biru yang sebenar-benarnya memayungi kesejahteraan Malaysia sejak sekian lama. Biru `original’ yang terbukti berwibawa dan berkemampuan. Hala tuju BN telah pun ditetapkan dan kita tinggal selangkah untuk memastikan harapan murni dan luhur itu menjadi kenyataan pada 19 November 2022.

“Ingatlah perjuangan BN bukan saja tentang masa sekarang, tetapi jauh lebih penting adalah tentang masa depan negara demi generasi akan datang.,” katanya dalam hantaran menerusi laman Facebooknya.

Jelas Ahmad Zahid, ia bukan juga untuk kepentingan mana-mana individu masa kini, sebaliknya untuk kepentingan rakyat dan jutaan ahlinya yang setia, jujur dan ikhlas di sisi parti

“Pemimpin datang dan pergi, tetapi BN Insya-Allah akan terus berada di persada tanah air di setiap masa dan tempat bagi melindungi Malaysia serta masyarakatnya. Justeru, nilai dan jati diri gabungan politik ini tidak sesekali boleh tersasar daripada asas yang terbentuk dalam sejarah panjang perjuangannya untuk tanah air.

“Ini hanya dapat dipertahankan dengan barisan kepimpinan dan ahli akar umbi yang tahu dan memahami asas serta aspirasi perjuangan tersebut. BN juga sedang mengorak langkah mempersiapkan pelapis muda yang akan mewarisi kepimpinan gabungan politik milik rakyat ini di masa depan.

“Kita sedang membentuk sebuah kepimpinan muda yang setia dan sanggup berjuang serta mempertahankan asas BN untuk rakyat dalam apa keadaaan sekali pun. Melalui sinergi meletakkan gandingan yang membimbing dan dibimbing bagi memastikan keseimbangan sentiasa wujud antara pengalaman dan pengetahuan.”

Dalam kesempatan ini, Ahmad Zahid juga berpesan kepada rakyat Malaysia tanpa mengira fahaman politik dengan harapan berilah keyakinan kepada BN kerana inilah gabungan politik yang benar-benar terbukti berdaya dan berjasa.

“Selama berpuluh tahun Malaysia menikmati kemakmuran dan kestabilan sebelum runtuh gara-gara fitnah dan janji-janji palsu, apakah kita tidak merindui kesejahteraan itu?

“Sematkan dalam fikiran, tetapkan dalam sanubari bahawa lambang dacing jadi pilihan semasa keluar mengundi walau apa sentimen politik pada diri,” katanya lagi. – UMNO Online

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.