Tular Surat Palsu… Tiada Mesyuarat Tergempar, Hanya Perjumpaan Biasa – Ahmad Maslan

 

KUALA LUMPUR, 6 Okt – “Petanda pemfitnah yang goblok bekerja lebih masa dengan tambahan bayaran lumayan supaya pimpinan UMNO berpecah.”

Demikian bidas Setiausaha Agung UMNO, Datuk Seri Ahmad Maslan berikutan tular surat yang menggunakan logo UMNO dengan ditandatanganinya.

Beliau menegaskan bahawa surat tersebut palsu iaitu membabitkan Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob yang juga Naib Presiden UMNO selepas mengadap Yang di-Pertuan Agong, petang tadi.

“Kami parti yang lama wujud, sudah melepasi pelbagai cabaran sukar, maka susah untuk berpecah kerana perkara-perkara bodoh seperti ini,” katanya.

Terdahulu beliau telah memaklumkan bahawa tiada mesyuarat Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO khas pada malam ini seperti yang digembar-gemburkan.

Jelasnya, pada malam ini hanyalah mesyuarat biasa yang diadakan bagi membincangkan pelbagai perkara yang berbeza dalam mendepani Pilihan Raya Umum (PRU) ke-15.

“Saya ingin memaklumkan bahawa katanya ada mesyuarat MKT khas pada malam ini, saya ingin maklumkan tidak ada ya. Tidak ada sebarang mesyuarat MKT khas pada malam ini. Memang kami ada bermesyuarat selalu perbincangan tajuk yang berbeza-beza.

“Malam ini mesyuarat biasa juga siri mesyuarat-mesyuarat yang kita adakan. Tidak ada mesyuarat tergempar,” katanya ketika ditemui pemberita di ruang legar Ibu Pejabat UMNO, Menara Dato’ Onn, di sini.

Beliau yang juga Ahli Parlimen Pontian turut mengulas soalan pemberita yang bertanyakan tentang kehadiran Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri serta Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi di bangunan UMNO itu.

“Sebelum ini, Timbalan Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamad Hasan memaklumkan sesi libat urus di seluruh bahagian selesai. Namun sekarang ini kami dalam sesi libat urus kali kedua bertemu dengan bahagian-bahagian untuk siri yang kedua.

“Pada hari ini merupakan sesi libat urus bahagian Bera, iaitu bahagian Perdana Menteri kita dan kebetulan bahagian Presiden kita turut terlibat sama iaitu bahagian Bagan Datuk,” katanya lagi.

Mengulas lanjut, beliau turut memaklumkan bahawa kehadiran Datuk Dr Mohd Khairuddin Aman Razali hanyalah sebagai kunjungan biasa dan Ahmad turut memaklumkan bahawa UMNO sedang menunggu keputusan mesyuarat Pas untuk Muafakat Nasional.

“Kehadiran Datuk Dr Mohd Khairuddin Aman Razali merupakan kunjungan biasa. Sebelum ini, pelbagai pihak berkunjung untuk bertemu dengan Presiden UMNO. Ini ialah persediaan-persediaan biasa dan tiada apa yang luar biasa pada malam ini.

“Berkenaan Pas, kita akan tunggu keputusan mesyuarat mereka kerana saya difahamkan mereka ada mesyuarat pada hari Sabtu dan Ahad. Jadi UMNO menunggu keputusan itu. Bila pun pilihan raya, kita perlu selesaikan perkara tersebut dengan pantas,” katanya lagi. – UMNO Online

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.