RM77.3 Bilion Untuk Subsidi, Bukti PM Prihatin Terhadap Rakyat – Dr Najmil

KUALA LUMPUR, 29 Jun – Exco Pemuda UMNO, Datuk Dr. Najmil Faiz Mohamed Aris berpandangan Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob memahami rakyat yang tengah susah untuk ‘survive’ lebih-lebih lagi apabila harga makanan asas meningkat.

Jelasnya, kerajaan telah memperuntukkan subsidi sebanyak RM77.3 bilion meliputi petrol, diesel, LPG, minyak masak, tepung dan tarif elektrik.

“Ini adalah perbelanjaan subsidi tertinggi dalam sejarah yang pernah ditanggung oleh mana-mana kerajaan. Semua inisiatif ini adalah untuk meringankan beban Keluarga Malaysia. Terima kasih Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob kerana begitu prihatin kepada rakyat.

“Kita patut bersyukur kerajaan tidak mengapungkan harga ayam di pasaran supaya bekalan ayam terus diperolehi dengan harga kawalan yang berpatutan.

“Selain itu kerajaan turut tidak menaikkan tarif elektrik dan sedia menampung subsidi elektrik sebanyak RM 5.8 bilion walaupun kos penjanaan tenaga kian meningkat,” katanya menerusi satu hantaran di Facebook.

Katanya lagi, sebagai contoh di Indonesia kerajaan Presiden Indonesia Jokowi mengumumkan kenaikan tarif elektrik sebanyak 17.6 peratus bagi setiap kWj untuk kediaman dan 36.6 peratus untuk bangunan kerajaan.

Terdahulu kerajaan telah memutuskan tidak menaikkan kadar tarif elektrik dan air di Semenanjung dan harga ayam dipasaran tidak akan diapungkan bagi memastikan rakyat tidak terbeban. – UMNO Online

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.