Kerja Kebajikan Tidak Dapat Diteruskan Kerana Dana Yayasan Akalbudi Dibekukan – Ahmad Zahid

KUALA LUMPUR, 14 April – Bekas Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi memberitahu Mahkamah Tinggi di sini hari ini bahawa beliau tidak dapat meneruskan kerja-kerja kebajikan berikutan dana Yayasan Akalbudi dibekukan selepas beliau didakwa di mahkamah.

Ahmad Zahid, 69, mendedahkan perkara itu ketika disoal peguamnya Datuk Ahmad Zaidi Zainal semasa membela diri atas 47 pertuduhan membabitkan pecah amanah, rasuah dan pengubahan wang haram.

“Sejak saya dituduh di mahkamah (2018) akaun (Yayasan Akalbudi) dibekukan dan saya tidak mampu lagi beri bantuan kebajikan,” katanya ketika memberi keterangan dari tempat saksi pada hari pertama prosiding membela diri, semalam.

Ahli Parlimen Bagan Datuk itu berkata dana yayasan itu bukan sahaja disalurkan bagi kerja-kerja kebajikan di parlimen berkenaan, malah disumbangkan untuk pembinaan masjid di Yunan, China yang menelan kos RM3.8 juta dan pengubahsuaian masjid lama berusia 400 tahun di perkampungan Melayu di Cape Town, Afrika Selatan yang menelan kos US$1 juta.

Selain itu katanya Yayasan Akalbudi turut membiayai kos pengubahsuaian sebuah gereja lama yang dibeli oleh komuniti Islam di Perth, Australia untuk dijadikan masjid.

“Yayasan Akalbudi juga mengeluarkan dana berjuta ringgit bagi percetakan Al-Quran untuk diedarkan ke negara-negara minoriti Islam seperti Kemboja, China, Korea dan beberapa negara lain,” katanya.

Ahmad Zahid berkata yayasan itu turut menyumbang RM8 juta bagi pembinaan dataran Masjid Tuminah Hamidi (yang masih dalam proses pembinaan) selain menyalurkan bantuan kepada keluarga kaum Cina dan India sempena perayaan Deepavali dan Tahun Baharu Cina.
Ahmad Zaidi: Objektif Yayasan Akalbudi adalah menjurus kepada agama Islam, mengapa sumbangan itu juga disalurkan kepada agama lain?

Ahmad Zahid: Saya adalah rakyat Malaysia yang sebenar, dan Islam agama saya. berlaku adil kepada lain-lain agama, sebab itu menjadi tanggungjawab saya untuk memberi kemudahan kepada agama lain bagi mereka melakukan aktiviti berkaitan penganut agama berkenaan.

Beliau berkata yayasan juga menanggung perbelanjaan tiket, hotel, makan minum anggota-anggota polis dan keselamatan serta pembantu yang terlibat semasa bencana pesawat MH17 (17 Julai 2014).

Kepada soalan Ahmad Zaidi mengapa kerajaan Malaysia tidak membiayai kos berkenaan, sebaliknya ia ditanggung oleh yayasan, Ahmad Zahid berkata kejadian itu berlaku secara tiba-tiba dan waktu itu masih belum dapat ‘wang pendahuluan’ dari kerajaan.

“Oleh itu yayasan membiayai perbelanjaan kumpulan forensik Polis Diraja Malaysia (PDRM) serta anggota keselamatan lain untuk dihantar ke sana (Ukraine) bagi mengenal pasti mayat penumpang MH17. Saya dan ketua polis negara turut pergi ke Ukraine,” jelas Ahmad Zahid.

Ahmad Zahid berdepan 47 pertuduhan dengan 12 daripadanya melibatkan pecah amanah, lapan pertuduhan rasuah dan 27 pertuduhan pengubahan wang haram, membabitkan berpuluh-puluh juta ringgit dana milik Yayasan Akalbudi.

Pada 24 Jan lepas, mahkamah memerintahkan Ahmad Zahid membela diri terhadap kesemua pertuduhan selepas pihak pendakwaan berjaya membuktikan kes prima facie.

Perbicaraan di hadapan Hakim Datuk Collin Lawrence Sequerah bersambung Jumaat (15 April). – BERNAMA