Laporan Audit 2019 TH Membuktikan Sekali Lagi Penipuan Pakatan Harapan

ANTARA perkara yang pemimpin Pakatan Harapan (PH) seronok sangat hari ini adalah kononnya langsung tidak ada teguran daripada Ketua Audit Negara (KAN) tentang prestasi kewangan Tabung Haji bagi tahun 2019. Kononnya betullah tindakan mereka selama ini telah berjaya menyelamatkan Tabung Haji.

Inilah masalah dah jadi menteri, dah jadi Yang Berhormat (YB) sekalipun masih tak reti baca laporan kewangan.

Memang betul dalam Laporan Kewangan 2019, tidak dinyatakan emphasis of the matter oleh KAN. Tetapi jika anda baca betul-betul perenggan ke 6 dan 7 muka surat (ms) 69 (Lampiran 1), KAN telah menyatakan bahawa Lembaga Pengarah Tabung Haji bertanggungjawab penuh dalam menilai kemampuan berterusan Tabung Haji.

Isu kemampuan Tabung Haji ini pula berkait dengan teguran KAN pada 2018 yang menyatakan ketidakpastian beliau adakah Tabung Haji mampu memperoleh semula bayaran RM27 bilion daripada Urus Harta Jemaah Sdn Bhd (UJSB) (Rujuk Lampiran 2).

Soalnya, kenapa kali ini KAN seolah-olah melepaskan diri dalam isu ini? Sebab dalam Nota 10 ms 148 (Lampiran 3), Lembaga Pengarah dan Pengurusan Tabung Haji telahpun mengisytiharkan keyakinan mereka bahawa sukuk ini akan dibayar penuh apabila tiba masanya.

Masalahnya sekarang pada ms 146 pula (Lampiran 4) dinyatakan bahawa sukuk ini tidak dijamin kerajaan. Malah pada ms 148 Nota 10 vi) (Lampiran 5) pula dinyatakan bahawa surat sokongan kewangan Kementerian Kewangan yang menjadi asas keyakinan Lembaga Pengarah Tabung Haji bahawa sukuk ini akan dibayar juga menyatakan bahawa ia tidak boleh dianggap sebagai satu jaminan kerajaan.

Jadi bagaimana Lembaga Pengarah dan Pengurusan Tabung Haji zaman PH boleh yakin bahawa sukuk ini akan dibayar kalau tidak ada satupun jaminan daripada kerajaan?

Ini yang pertama.

Sekarang kita pergi isu kedua. Adakah tanpa jaminan kerajaan UJSB ini mampu membayar RM27.6 bilion kepada Tabung Haji dalam tempoh 9 tahun?

Pada Lampiran 6, saya kemukakan laporan audit UJSB bagi tahun 2019. Pendapatan mereka bagi tahun tersebut adalah RM233.98 juta. Ini adalah pendapatan daripada dividen dan sewaan aset Tabung Haji yang telah dipindahkan kepada mereka pada tahun 2018.

Soalan saya kalau setahun income tak sampai RM234 juta, kalau 9 tahun jadi berapa?

Nak bayar macam mana sampai RM27.6bilion? Kau darab pakai sifir berapa?

Satu lagi rujuk Lampiran 7. Finance cost UJSB tahun 2019 adalah RM472.6 juta.

Nak servis macam mana kalau income pun tak sampai RM234 juta?

Jadi Laporan Kewangan Tabung Haji 2019 ini telah membuktikan bahawa PH berbohong. Sukuk ini sebenarnya TIDAK PERNAH DIJAMIN KERAJAAN.

Isu ketiga, apakah benar Tabung Haji telah pulih di bawah pentadbiran PH?

Tak payah pening kepala. Tengok ms 21 (Lampiran 8. Dinyatakan bahawa:

i. Jumlah pendapatan 2019 adalah RM3.217 bilion – merosot RM1.33 bilion berbanding 2017 (RM4.55b).

ii. Jumlah keuntungan bersih 2019 adalah RM1.837 bilion – menurun RM1.567 bilion berbanding 2017 (RM3.4b).

iii. Bilangan pendeposit 2019 adalah 8.75 juta orang – jatuh 520 ribu orang berbanding 2017.

iv. Simpanan pendeposit 2019 adalah RM69.4 bilion – turun RM786 juta berbanding 2017.

Jadi kalau semua merosot, semua menurun, semua jatuh, maka pulih kut mana?

Dan paling penting adalah isu keempat.

Iaitu selama ini dituduh bahawa Tabung Haji telah menipu keuntungan pada zaman kerajaan Barisan Nasional (BN).

Tapi Laporan Kewangan kali ini mengiktiraf semua angka-angka keuntungan operasi, keuntungan bersih dan jumlah pendapatan yang telah dilaporkan sebelum 2017.

Kalau pengurusan lama menipu, yang masih pakai angka mereka pasal apa?

Nak buat propaganda dodoikan budak-budak PAN boleh lah. Kalau nak tipu kami, usaha la lagi. – UMNO ONLINE

Abdul Rahim Hilmi Zakariya
Kuala Terengganu