UMNO Adakan Mesyuarat Khas MKT Esok, Bincang Isu Politik Terkini – Ahmad Maslan

KUALA LUMPUR, 2 Ogos – Ahli-ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO bakal mengadakan mesyuarat yang akan berlangsung secara maya bagi membincangkan isu politik terkini.

Setiausaha Agungnya, Datuk Seri Ahmad Maslan berkata, UMNO akan mengadakan Mesyuarat Khas MKT pada petang esok, 3 Ogos 2021.

“Tentu mesyuarat tergempar ini untuk membincangkan isu politik terkini. Antaranya hal kenyataan media Istana Negara dan warkah Yang di-Pertuan Agong. Juga isu darurat, ordinannya dan penangguhan sidang Parlimen hari ini,” katanya yang juga Ahli Parlimen Pontian menerusi ciapan dalam Twitternya.

Terdahulu, sidang Parlimen pada Khamis lalu ditangguhkan susulan kenyataan Istana Negara, bahawa Yang di-Pertuan Agong Sultan Abdullah Sultan Ahmad Shah dukacita dengan pengumuman pembatalan Ordinan Darurat oleh kerajaan pada 21 Julai lalu.

Kemudian, pada Jumaat, pejabat Yang Dipertua Dewan Rakyat telah dimaklumkan oleh Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin berhubung penangguhan persidangan Mesyuarat Khas Dewan Rakyat.

Ini adalah selaras Peraturan Mesyuarat 11(3) Peraturan-peraturan Majlis Mesyuarat Dewan Rakyat iaitu selari dengan cadangan Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah serta penilaian risiko semasa oleh Kementerian Kesihatan (KKM), yang mana KKM berpendapat bahawa Parlimen Malaysia merupakan lokaliti berisiko berlakunya penularan jangkitan COVID-19. – UMNO Online

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.