Moratorium Automatik Tak Wajar? Shahril Tegaskan Bukan Rakyat Yang Patut Terbeban…

KUALA LUMPUR, 16 Jun – Ketua Penerangan UMNO Malaysia, Shahril Hamdan menegaskan bahawa antara bank, Kerajaan dan rakyat perlu ada satu pihak yang mesti menanggung beban kesan daripada pandemik COVID-19 namun pihak itu sepatutnya bukan rakyat.

Katanya, pakej bantuan sekarang tidak cukup biarpun ada yang sebut negara lain tidak ada moratorium berpanjangan namun di negara lain masih ada pakej bantuan yang diberikan.

“Kerajaan darurat ini mesti pilih dan pilih sekarang. Kalau tak nak sangat bagi moratorium maka tambah perbelanjaan kerajaan dan bantu orang. Kalau tidak, arahkan bank beri moratorium kepada B40, M40 dan PKS.


“Negara lain subsidi upah besar, mudah dan bantuan kewangan dari Kerajaan besar, tapi kita? Subsidi upah RM600 seorang. Bantuan tunai one off baru ni RM1,500 satu isi rumah. Geran untuk PKS RM1500, one off.

“Syarikat dah nak tutup. Dapat RM1,500 boleh buat apa? Hutang nak servis pun dah beribu. Subsidi upah RM600, kalau gaji staf RM2,000, ada lima orang staf, macam mana nak bayar?”

Terdahulu Shahril memetik kenyataan Ketua Ahli Ekonomi Bank Islam, Dr. Mohd. Afzanizam Abdul Rashid yang berkata, kita perlu membezakan keperluan moratorium sebagai satu instrumen membantu rakyat dan bank pula sebagai sebuah entiti perniagaan yang bermotifkan keuntungan

“Betul. Dua-dua penting untuk ekonomi. Tapi saat ini, mana lagi penting? Pelihara rakyat atau pelihara keuntungan bank?

“Sebarang bentuk bantuan sebaiknya bersasar. Apabila bantuan tidak bersasar dilaksanakan, maka berlakulah pembaziran. Prinsip yang sama juga dilaksanakan dalam moratorium pinjaman.”

Apapun, katanya, bantuan bersasar situasi ideal tapi ia perlu berpijak pada bumi nyata tanpa memberi seribu alasan untuk mendapatkan moratorium sehinggakan ada kes individu atau syarikat yang perlu, tak dapat.


“Kedua, di bumi nyata, nak dapatkan data sebenar-benarnya siapa yang layak siapa tak layak, susah. Simpanan data di Malaysia ini belum capai peringkat sepatutnya. Dah banyak kes keciciran, tapi itu masalah lain untuk hari lain. Isunya, nak tunggu nak kaji betul-betul siapa perlu siapa tak perlu, individu dah tak dapat bayar, syarikat pun dah gulung tikar.

“Apa salahnya bagi ke B40 dan M40, bagi kepada semua syarikat PKS. Yang tak mahu, mereka tolak. Mereka opt out, bukan opt in. Kalau ada caj pun atau kalau faedah jalan, bukan faedah tak masuk akal macam ni. Bayar bulan-bulan 400 tapi minta moratorium tiga bulan kena bayar faedah 700.

“Sebab tu pijak pada bumi nyata. Nak bersasar sangat, ramai tak dapat. Mana lebih baik? Cepat-cepat tolong 10 orang termasuk dua yang tak perlu, apa yang rugi sangat? Berbanding nak sangat memilih akhirnya semua tercicir.”

Di samping itu kata Shahril yang merupakan Naib Ketua Pergerakan Pemuda UMNO Malaysia juga merujuk kepada pakar ekonomi terbabit iaitu kebanyakan saham institusi perbankan dimiliki oleh institusi seperti Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP), Permodalan Nasional Berhad (PNB) dan Khazanah Nasional Berhad (Khazanah) yang mana keuntungan bank-bank akan disalurkan kepada institusi ini, dan akhirnya memanfaatkan rakyat melalui pemberian dividen.

“Ini satu lagi hujah teori dan buku teks tak berpijak pada bumi nyata. Kononnya trickle down economics. Bila institusi besar ini untung besar, rakyat pun untung besar.

“Tak semudah itu. Siapa yang pegang simpanan paling banyak dalam ASB PNB? Siapa pegang simpanan banyak dalam KWSP? B40? M40? 76% pemegang ASB memiliki tak sampai RM5 ribu pun. KWSP pun orang dah keluarkan banyak.

“Ya kita nak PNB, Khazanah, KWSP semua untung, tapi tolong jangan bagi alasan tak boleh bagi moratorium sebab kena pelihara keuntungan bank supaya rakyat untung. Berpijaklah pada bumi nyata.”

Tegasnya lagi, apabila rekod pembayaran adalah baik, lebih mudah untuk membuat pembiayaan baharu terutamanya bagi mereka yang ingin membeli rumah kedua dan kenderaan seterusnya

. – UMNO Online

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.