Categories: Berita Utama

UMNO Sentiasa Terbuka Beri Peluang Pemimpin Muda – Tajuddin

PASIR SALAK, 4 April – UMNO sentiasa terbuka menerima pemimpin muda dalam usaha memastikan parti relevan di mata rakyat, kata Ahli Majlis Kerja Tertinggi UMNO, Datuk Seri Tajuddin Abdul Rahman.

Menurutnya, keadaan ini terbukti apabila Shahril Hamdan diamanahkan untuk menerajui Penerangan UMNO Malaysia.

“Orang kata UMNO tak beri peluang kepada orang muda.

“Shahril dilantik memegang jawatan yang senior dalam parti dan kita daripada dahulu sehingga sekarang kita sentiasa menyuntik semangat baharu.

“Untuk meremajakan parti melalui tokoh-tokoh muda yang berbakat dan komited kepada perjuangan. Saya harap meremajakan UMNO ini perlu diteruskan,” katanya.

Beliau berkata demikian menerusi ucapan dalam Sesi Town Hall Penerangan UMNO Malaysia Bersama Jentera PRU15 UMNO Pasir Salak di Dewan Serbaguna Pekan Rabu, Parit 6, malam tadi.

Menurutnya, UMNO perlu kekal berjuang demi mempertahan nasib orang Melayu dengan mewariskan kepimpinan kepada orang muda.

“Jadi kita sebagai parti yang relevan kepada perjuangan kita orang Melayu untuk sepanjang zaman.

“Kalau tidak nanti takut-takut kita tidak relevan lagi kepada generasi kita,” katanya. – UMNO Online

Oleh: Nurul Saadah Latib