UMNO Menjunjung Titah Agong, Beri Sokongan Padu Belanjawan 2021 Demi Negara – Shahril

KUALA LUMPUR, 29 Okt. – Ketua Penerangan UMNO, Shahril Hamdan menjunjung titah Kebawah Duli Yang Maha Mulia Yang di-Pertuan Agong agar ahli-ahli Dewan Rakyat memberi sokongan padu kepada Belanjawan 2021 demi kesejahteraan rakyat serta pemulihan ekonomi negara.

Ujarnya, kebijaksanaan Seri Paduka Baginda Tuanku dalam bertitah agar semua ahli politik bersatu untuk meluluskan Belanjawan 2021 menunjukkan bahawa institusi raja sentiasa mengutamakan denyut nadi rakyat.

“Atas kesedaran tersebut jugalah Mesyuarat Majlis Kerja Tertinggi UMNO yang dipengerusikan oleh Presiden UMNO pada hari Isnin telah memutuskan agar semua Ahli Parlimen UMNO memberikan sokongan kepada kerajaan selaras dengan titah Tuanku untuk meredakan suhu politik.

“Semoga ahli politik dan Ahli Parlimen parti lain turut bersama UMNO dalam hal ini, dengan semangat keikhlasan yang sama bagi meletakkan kepentingan rakyat dihadapan terutamanya dalam senario pandemik COVID-19 yang masih menular pantas,” katanya dalam kenyataan berkaitan hal ini.

Ujarnya lagi, rakyat Malaysia sentiasa mendoakan agar Kebawah Duli Yang Maha Mulia Tuanku diberikan kesihatan, kesejahteraan dan kemakmuran yang berpanjangan serta sentiasa diberkati Allah S.W.T

“Menjunjung Kasih Tuanku. Daulat Tuanku.” – UMNO Online

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.