Infrastruktur, Kemudahan Asas Di Sabah Akan Ditambah Baik – Bung Moktar

KOTA KINABALU, 30 Sept – Timbalan Ketua Menteri I Datuk Seri Bung Moktar Radin berkata beliau akan memastikan kemudahan asas dan infrastruktur di Sabah dinaik taraf, khususnya di kawasan luar bandar.

Bung Moktar yang memulakan tugas rasminya sebagai Menteri Kerja Raya Sabah hari ini berkata misi utama beliau itu selaras dengan aku janji Gabungan Rakyat Sabah (GRS) yang mahu memberikan perkhidmatan terbaik untuk rakyat Sabah.

“Tugas saya dan rakan-rakan, semua agensi di sini (kementerian) akan memastikan rakyat mendapat hak mereka, mendapat bekalan air bersih dan jalan raya yang baik,” katanya kepada pemberita selepas mendengar taklimat oleh Timbalan Setiausaha Tetap Kementerian Kerja Raya Sabah Helena Masry di bangunan kementerian, di sini,

Katanya, beliau juga akan berusaha memperincikan proses pembinaan Lebuhraya Pan Borneo supaya berjalan lancar.

Dalam pada itu, Bung Moktar berkata dalam usaha membendung pandemik COVID-19, Kementerian Kesihatan telah mencadangkan kepada kerajaan negeri agar Kota Kinabalu dikenakan sekatan pergerakan.

Bagaimanapun, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Lamag itu berkata sekatan itu bergantung kepada perkembangan harian jumlah kes COVID-19 di negeri itu, sebelum penguatkuasaan sekatan pergerakan dilakukan.

“Sekiranya COVID-19 masih terkawal, saya rasa tidak perlu sekatan pergerakan tetapi bagi daerah lain (Lahad Datu, Kunak, Semporna dan Tawau) perlu (dilaksanakan) …tiada pilihan. Utama rakyat terlebih dahulu,” katanya.

Mengenai taklimat itu, Bung Moktar berkata beliau telah dimaklumkan mengenai perancangan yang akan dilaksanakan kementerian itu khususnya dalam Rancangan Malaysia Ke-12.

Semalam, Bung Moktar yang juga Pengerusi Barisan Nasional Sabah mengangkat sumpah sebagai Timbalan Ketua Menteri Sabah di hadapan Yang Dipertua Negeri Sabah Tun Juhar Mahiruddin, pada istiadat di Istana Negeri Sabah.

Gabungan Rakyat Sabah (GRS) memperoleh majoriti mudah untuk mengambil alih tampuk pimpinan kerajaan negeri daripada Parti Warisan Sabah (Warisan) pada Pilihan Raya Negeri Sabah ke-16, Sabtu lepas, apabila memperoleh 38 daripada keseluruhan 73 kerusi DUN negeri ini. – BERNAMA

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.