Sokongan UMNO Secara En-Bloc, ‘No’ Dap… ‘No’ Anwar – Ismail Sabri

 

LIBARAN, 24 Sept – ‘No’ Dap… ‘No’ Anwar (Anwar Ibrahim)…

Naib Presiden UMNO Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, keputusan Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO dan Ahli Parlimen Barisan Nasional (BN) sebelum ini secara jelas telah menyatakan bahawa sokongan adalah secara en-bloc malah tidak akan bersama-sama dengan mana-mana parti yang bekerjasama dengan Dap.

Jelas beliau, arahan Presiden UMNO Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi dulu juga memaklumkan bahawa sesiapa yang tidak patuh kepada keputusan ini akan dipecat maka keputusan tersebut masih kekal melainkan mesyuarat MKT UMNO membuat keputusan sebaliknya.

“Jadi, saya amat yakin tiada ahli parlimen UMNO yang terlibat ataupun menyatakan sokongan kepada Anwar. Sekejap dia cakap ada 10 nama, lepas itu naik 15 nama… lepas ini saya rasa naik 50 nama, lebih daripada bilangan ahli parlimen UMNO yang ada,” ujar beliau kepada media selepas program ‘walk-about’ di Dewan Undangan Negeri (DUN) Gum Gum, hari ini.

Justeru tegas Ismail yang juga merupakan Menteri Kanan (Pertahanan), ini semua adalah permainan politik Anwar bagi memecah-belahkan sesama UMNO dan rakan gabungan di Sabah.

“Jadi, kita jangan terperangkap dengan permainan dia. Ini semua ‘psywar’ sebab Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah.

“Saya yakin, tidak ada ahli Parlimen UMNO yang mahu menyokong Anwar. Saya sendiri telah bercakap dengan beberapa pemimpin UMNO yang dikatakan menyokong tapi semua menafikan,” ujar beliau.

Untuk rekod, memetik portal The Coverage, terdapat 19 orang ahli parlimen UMNO yang menyatakan sokongan kepada Anwar, antaranya ialah Datuk Seri Bung Moktar Radin, Datuk Seri Shahidan Kassim, Datuk Seri Mahdzir Khalid dan Datuk Seri Abdul Azeez Rahim. – UMNO ONLINE

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.