Tak Timbul Soal ‘Sabah Untuk Sabah’, Utamakan Agenda Kebajikan Rakyat – Sharkar

KALABAKAN, 18 Sept – Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO, Datuk Seri Mohd Sharkar Shamsuddin menegaskan soal sentimen ‘Sabah untuk Sabah’ atau ‘UMNO/BN parti Semenanjung’ tidak timbul kerana keutamaan adalah fokus kepada agenda untuk rakyat.

Jelasnya, sebenarnya dari dulu Warisan cuba memainkan sentimen Sabah untuk Sabah sedangkan sewajarnya semua pihak di Malaysia ini sama ada di Sabah, Sarawak atau Semenanjung bukanlah satu isu.

“Yang penting adalah bagaimana parti ini jika dia menang dapat menunaikan tugas dan tanggungjawab serta janji-janji yang telah dilafazkan.

“Memang betul UMNO dari Semenanjung tapi komponen-komponen Warisan seperti PKR dan Dap juga dari Semenanjung dan UMNO walaupun parti dari Semenanjung tetapi ternyata pemimpin dari UMNO di negeri ini semuanya dari Sabah.

“Bukannya Datuk Seri Zahid (Ahmad Zahid Hamidi) jadi Ketua Menteri, bukan Datuk Mat Hasan (Mohamad Hasan) jadi Ketua Menteri tapi yang jadi Ketua Menteri itu adalah orang Sabah.”

Tegas Mohd Sharkar yang juga Ahli Mesyuarat Kerajaan Negeri (EXCO) Pahang, parti hanyalah platform untuk bertanding dalam pilihan raya malah UMNO sekarang ini telah berikan kuasa autonomi kepada UMNO di Sabah.

“Jadi UMNO di Sabah yang menentukan calon dan nanti kalau menang sama-sama untuk menentukan calon Ketua Menteri yang juga adalah orang Sabah.

“Pada saya isu Sabah untuk Sabah, UMNO parti Semenanjung tidak timbul kerana yang paling penting adalah kita ingin lihat ‘track record’ yang dilaksanakan selama 27 bulan parti Warisan memerintah.”

Ujarnya, Sabah adalah sebahagian dari Semenanjung untuk membentuk Malaysia maka sekiranya parti yang memerintah Sabah tidak selari dengan kerajaan pusat tentulah susah untuk pembangunan keseluruhan.

“Kita harap rakan-rakan kita mesti memikirkan untuk masa hadapan iaitu kita inginkan parti yang menang di Sabah ini adalah sealiran dengan Putrajaya.

“Jadi sebab itulah kita harap rakan-rakan di Sabah mesti memikirkan tentang masa depan. Pada saya ‘Sabah untuk Sabah’ ini hanyalah sentimen kerana yang penting apakah agenda besar untuk yang mesti kita lihat?” katanya kepada UMNO Online selepas mengadakan pertemuan dengan jentera BN di PDM Kalabakan.

Beliau turun beranggapan apabila sentimen sedemikian dibangkitkan maka rasa saling mencurigai antara satu-satu negeri juga akan wujud.

“Itulah sebabnya selama BN memerintah kita sentiasa elakkan perkara-perkara sensitif tapi sejak PH (Pakatan Harapan) berkerajaan kita boleh tengok dalam Facebook atau media sosial bagaimana sentimen keagamaan, perkauman atau sentimen asal usul dimainkan.

“Seharusnya kita fikirkan bagaimana kita perlu bendung jika kita benar-benar mahu pastikan kesejahteraan.

“Bayangkan kalau mereka kekal memerintah tentunya akan ada saling curiga yang tidak baik untuk pembangunan dan masa depan negara kerana saling curiga mencurigai antara negeri-negeri ini sangat tidak baik,” katanya lagi. – UMNO Online

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.