Pulau Batu Puteh: Jangan Lupa Pengkhianatan Terbesar PH – Razlan

KUALA LUMPUR, 14 Julai – Ahli Majlis Kerja Tertinggi UMNO, Datuk Mohd Razlan Rafii berkata sudah tiba masanya kerajaan Perikatan Nasional (PN) mendedahkan dan membongkar segala perkara yang berkaitan dengan pengkhianatan Pakatan Harapan (PH) kepada tanah air.

Tegasnya, rakyat wajib ketahui sisi sebenar kontroversi mengenai Pulau Batu Puteh yang kini terlepas ke tangan negara jiran.

“Kekesalan kita hari ini dek kerana tindakan kerajaan PH sebelum ini amat merugikan negara. Mungkin tidak salah sekiranya kita mengandaikan ini merupakan satu bentuk pengkhianatan kepada seluruh rakyat Malaysia.

“Sehingga ke hari ini, banyak pihak masih berteka-teki dan tidak dapat memahami maksud di sebalik tindakan yang dibuat oleh kerajaan PH dan memberi Pulau Batu Puteh secara ‘percuma’ kepada negara jiran ini.

“Adakah tindakan PH ini tidak mengutamakan soal keselamatan dan kedaulatan negara? Atau adakah keputusan yang dibuat kerajaan PH dipengaruhi oleh Dap yang dilihat seperti mahu menjaga hubungan baik mereka dengan kerajaan Singapura yang dipimpin oleh PAP,” ujarnya dalam satu kenyataan, di sini hari ini.

Jelasnya, sebelum ini ketika kerajaan Barisan Nasional (BN) mentadbir, Malaysia tetap dengan pendirian mempertahankan kedaulatan Pulau Batu Puteh sebagai milik negara dan isu perebutan itu juga melibatkan kerajaan Singapura serta diadili oleh Mahkamah Antarabangsa (ICJ) telah berlarutan bertahun lamanya.

“Apabila PH mula mendapat kuasa, mereka telah membuat keputusan drastik untuk menamatkan kemelut perebutan pulau yang pada asalnya ini dimiliki negeri Johor dengan tidak meneruskan tuntutan dan menyerahkan hak milik kepada Singapura.

“Keputusan ini sudah pasti tidak menggembirakan banyak pihak terutamanya di Malaysia kerana ianya melibatkan kedaulatan dan kepentingan negara. Malaysia dan Singapura telah membawa pertikaian ini kepada ICJ, pada 2008 dan mahkamah antarabangsa itu memutuskan Singapura berhak ke atas Pulau Batu Puteh.

“Semasa negara diterajui pada era kepimpinan Datuk Seri Najib Tun Abdul Razak, Peguam Negara, Tan Sri Mohamed Apandi Ali telah diarahkan mengetuai pasukan pakar yang akan mengendalikan semakan semula penghakiman ICJ berhubung pemilikan Pulau Batu Puteh. Ini susulan tindakan kerajaan Malaysia memfailkan permohonan semakan kehakiman terhadap ICJ pada Februari 2017,” tambahnya.

Razlan juga berkata Pulau Batu Puteh merupakan satu pulau yang sangat strategik bagi negara termasuk dua buah pulau lain berhampiran iaitu Batuan Tengah dan Tubir Selatan.

Justeru kata Naib Ketua UMNO Bahagian Seputeh itu lagi, benarlah kata seorang ulama sebelum Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14) lalu bahawa rakyat tidak memerlukan masa yang lama untuk melihat PH merosakkan dan menghancurkan negara yang dibina dengan baik selama 60 tahun.

“Memadai dalam beberapa bulan sahaja, PH berjaya menjahanamkan negara sehingga kadar hutang negara kita meningkat, aset-aset negara dijual dan lebih buruk lagi Pulau Batu Puteh (kedaulatan negara) digadai begitu saja,” bidasnya lagi. – UMNO ONLINE

Oleh: Zylan Moha

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.