‘UMNO Tidak Laku Di Sabah’, Kenyataan Angkuh Yang Tidak Berfakta

KUALA LUMPUR, 10 Julai – Kenyataan yang mencetuskan polemik oleh  Menteri Pembangunan Luar Bandar, Datuk Dr. Abdul Latiff Ahmad mengenai UMNO tidak laku di Sabah terus mendapat kecaman daripada pimpinan UMNO negeri berkenaan.

Kali ini Ketua Penerangan Pemuda UMNO Sabah, Naim Moktar pula yang tampil menyatakan perkara tersebut dengan memberikan beberapa fakta termasuklah kedudukan UMNO itu sendiri di negeri tersebut selepas Pilihan Raya Umum (PRU) yang lalu serta keputusan Pilihan Raya Kecil (PRK) parlimen Kimanis baru-baru ini yang mana calon daripada UMNO yang mewakili Barisan Nasional (BN) menang dengan majoriti 2,029 undi.

Menerusi catatan di Facebook beliau, Mohd Naim menjelaskan kenyataan tersebut bukan sahaja angkuh malah tidak berfakta sama sekali kerana keputusan PRU lalu lalu membuktikan UMNO menerusi BN menang di negeri tersebut.

“Pertama, BN di bawah pimpinan UMNO telah memenangi majoriti kerusi di Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah sebelum berlakunya lompat parti.

“Kedua, pertembungan dua penjuru PRK Kimanis di antara UMNO dengan WARISAN serta PPBM pada waktu itu telah dimenangi oleh UMNO dengan majoriti 2,029 undi. Adakah Dr. Abd Latiff Ahmad terlupa bahawa DUN Membakut (N24) yang terletak di dalam Parlimen Kimanis (P176) merupakan kawasan YB Ariffin Arif yang merupakan wakil rakyat PPBM (Mantan UMNO),” katanya.

Sebelum ini, Dr. Latiff yang juga Ahli Parlimen dari PPBM membuat kenyataan dalam sebuah forum terbuka dan video itu juga dikongsi di media sosial yang berkata UMNO di Sabah tidak lagi laku dan ramai ahlinya yang telah menyertai PPBM.

Abd Latiff adalah antara Ahli Parlimen dari UMNO yang menang atas tiket BN namun menyertai PPBM selepas BN tewas dalam PRU Ke-14 lalu.

Seterusnya tambah Mohd Naim, Dr. Latiff tidak menghormati semangat Perikatan Nasional (PN) yang termetarai antara beberapa parti politik.

“Jika benar beliau merasakan bahawa UMNO Sabah tidak laku, saya cadangkan agar kita bertanding tiga penjuru di Sabah dalam Pilihan Raya Umum Ke-15. UMNO Sabah tidak pernah takut untuk mengambil semula kerusi-kerusi milik UMNO Sabah.

“Saya tegaskan sekali lagi, Pergerakan Pemuda UMNO Sabah berkeras mendesak Dr. Latiff meletakkan jawatannya selaku Menteri PN atau lebih baik bertembung secara 3 penjuru di dalam Pilihan Raya Umum Ke-15 di Sabah. Kita lihat parti politik manakah yang tidak laku di dalam Pilihan Raya Umum Ke-15 kelak,” ujarnya.- UMNO Online

Oleh: Azman Abas

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.