84 Peratus Tapak Bina Beroperasi Patuh SOP – Fadillah

KUALA LUMPUR, 7 Julai – Sejumlah 84 peratus daripada 3,282 tapak binaan yang beroperasi mematuhi prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan kerajaan dalam menangani penularan pandemik COVID-19, kata Menteri Kanan (Kluster Infrastruktur) Datuk Seri Fadillah Yusof.

Fadillah yang juga Menteri Kerja Raya berkata menerusi pemeriksaan oleh Lembaga Pembangunan Industri Pembinaan Malaysia (CIDB) bagi tempoh 20 April hingga 5 Julai, hanya satu peratus daripada jumlah tapak binaan itu diarahkan tutup kerana tidak mematuhi SOP manakala 15 peratus diberikan amaran atas alasan yang sama.

Beliau berkata tapak binaan yang ditutup oleh Kementerian Kesihatan sebelum ini kerana terdapat kes positif COVID-19, dibuka semula kerana telah tamat tempoh kuarantin dan tiada lagi pekerja yang didapati positif jangkitan kes itu.

“(Tapak binaan) yang tidak mematuhi SOP pula majoritinya sudah patuh (setelah diberikan amaran). Selagi tidak patuh, mereka tidak boleh beroperasi,” katanya kepada pemberita selepas melakukan pemeriksaan penempatan pekerja pembinaan di Bangsar South dekat sini, hari ini, yang menempatkan 950 pekerja.

Turut hadir dalam program lawatan itu ialah Menteri Sumber Manusia Datuk Seri M Saravanan, Datuk Bandar Kuala Lumpur Datuk Nor Hisham Ahmad Dahlan dan Ketua Eksekutif CIDB Datuk Ir Ahmad ‘Asri Abdul Hamid.

Dalam pada itu, ditanya mengenai projek-projek tertangguh akibat pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), beliau berkata lanjutan masa diberikan selama tiga bulan secara automatik melibatkan projek-projek kerajaan.

Sementara itu, Saravanan berkata kerajaan akan menguatkuasakan sepenuhnya Akta 446 iaitu Akta Standard Minimum Perumahan, Penginapan dan Kemudahan Pekerja 1990 bermula 1 September ini bagi memastikan majikan mematuhi SOP ditetapkan dalam aspek perumahan pekerja bagi semua sektor dalam mengawal penularan COVID-19.

“Pasukan penguatkuasaan seperti Jabatan Tenaga Kerja akan menjalankan aktiviti penguatkuasaan selepas 1 September. Majikan boleh dikenakan denda sehingga RM50,000 sekiranya tidak mematuhi SOP dalam Akta 446,” katanya.

Secara amnya, penempatan pekerja yang terletak di dalam mahupun luar tapak pembinaan perlu memenuhi tiga perkara asas iaitu selamat, bersih dan selesa, mempunyai keluasan sesuai dengan jumlah penghuni serta patuh peraturan dan undang-undang di semua peringkat.

Antara SOP ditetapkan di semua penempatan pekerja ialah melakukan pembersihan dan nyahkuman tiga kali di kawasan gunasama, menyediakan kemudahan mencuci tangan dan cecair pembasmi kuman, menghalang aktiviti berkumpulan dan memastikan penjarakan sosial sekurang-kurangnya satu meter antara pekerja.

Penempatan pekerja pembinaan di Bangsar South itu yang telah dibina sejak 15 tahun lepas dilengkapi kabin penginapan, tempat mandi, tandas, dan tempat memasak lengkap dan bersih. – BERNAMA

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.