Tuduhan Rompak Wang GST : Heret Semula Guan Eng Ke Jawatankuasa Hak & Kebebasan Parlimen – Shahril

KUALA LUMPUR, 31 Mei – Ketua Penerangan UMNO Malaysia, Shahril Hamdan berkata bagi memastikan Dewan Rakyat dijaga kemuliaannya, wajar sekiranya usul agar Ahli Parlimen Bagan, Lim Guan Eng dihadapkan ke Jawatankuasa Hak dan Kebebasan dibawa semula untuk pertimbangan Speaker dan ahli Dewan apabila sidang bersambung Julai nanti.

Ini katanya, berikutan twit Ahli Parlimen Subang, Wong Chen yang mengakui bahawa Jawatankuasa Kira-kira Wang Negara (PAC) mendapati tiada rompakan ke atas wang bayaran balik Cukai Barangan dan Perkhidmatan (GST) seperti yang didakwa bekas Menteri Kewangan kerajaan Pakatan Harapan (PH) itu.

“Dan sekiranya ada usul itu nanti, rakyat boleh menilai sama ada Wong Chen dan Ahli Parlimen PH memilih untuk mengembalikan kemuliaan Dewan atau membiarkan pembohongan itu kekal sebagai sejarah hasil pentadbiran 22 bulan PH,” tambahnya dalam satu kenyataan di sini, hari ini.

Jelas Shahril, ia bukanlah perkara baru memandangkan laporan PAC tersebut telah dikeluarkan pada Julai tahun lalu.

“Laporan PAC ini jugalah yang mendorong Ahli Parlimen Barisan Nasional (BN) membawakan usul agar Lim Guan Eng dihadapkan ke Jawatankuasa Hak dan Kebebasan Dewan Rakyat kerana telah berbohong di dalam Dewan Rakyat.

“Namun usul ini telah ditolak oleh Speaker Dewan Rakyat ketika itu,” katanya.

 

Tetapi tambah Shahril lagi, yang menjadi persoalan adalah mengapa pada waktu usul tersebut dibawa, Wong Chen serta ahli-ahli PAC dari PH ketika itu tidak bersetuju dengan usul tersebut atau tidak membantah keputusan Speaker.

“PH sebelum ini sering melaungkan transparensi dan kejujuran serta kononnya mahu mengangkat martabat Parlimen.

“Tetapi jelas sekali pada waktu tersebut, Wong Chen dan Ahli Parlimen PH telah mengetepikan prinsip dan terus membiarkan Lim Guan Eng berbohong di dalam Dewan Rakyat.

“Malah lebih teruk, masih mempertahan dan menyokong pembohongan berterusan dari Lim Guan Eng walaupun laporan PAC telah menyatakan perkara sebaliknya,” bidasnya. – UMNO ONLINE

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.