Kerajaan Beri Sumbangan RM1.3 Juta Kepada Zoo Negara Bantu Pelihara Hidupan Liar – Dr Shamsul

KUALA LUMPUR,13 APRIL – Menteri Tenaga dan Sumber Asli, Datuk Dr Shamsul Anuar Nasarah pada hari ini telah menyampaikan dana sumbangan Kerajaan sebanyak RM1.3 juta kepada Zoo Negara sebagai tanda prihatin Kerajaan kepada kebajikan hidupan liar.

Katanya, dana ini sebagai langkah awal untuk membantu masalah yang dihadapi oleh Zoo Negara khususnya dalam menyediakan bekalan makanan kepada hidupan liar berikutan penutupan sementara premis berkenaan sepanjang tempoh pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) bagi membendung wabak COVID-19.

“Kementerian Tenaga dan Sumber Asli (KeTSA) melalui Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (PERHILITAN) telah mengeluarkan sebanyak 34 permit pengendalian Zoo dan Pameran Tetap Hidupan Liar (ZPT) di bawah Akta Pemuliharaan Hidupan Liar 2010 [Akta 716] bagi menguatkuasakan peraturan kepada pemilik atau pengendali ZPT supaya tidak mengabaikan aspek kebajikan, pemakanan, penjagaan kesihatan dan pembersihan kurungan hidupan liar.

“Sebahagian besar ZPT adalah bernaung di bawah Malaysian Association of Zoological Park and Aquaria (MAZPA)”, katanya pada sidang media, hari ini..

Selain Zoo Negara jelas beliau lagi operasi ZPT lain di seluruh negara turut terjejas teruk kerana kos operasi adalah bergantung sepenuhnya daripada hasil kutipan tiket.

KeTSA tegasnya komited untuk membantu kesemua ZPT yang terjejas dalam tempoh PKP ini dan sedang berusaha untuk menyalurkan dana dalam masa terdekat bagi tujuan ini.

Tambah Dr Shamsul lagi, langkah proaktif yang dilaksanakan oleh Kerajaan untuk membantu ZPT di negara ini adalah untuk menjamin kebajikan spesies hidupan liar yang ada di ZPT dan memastikan kelangsungan operasi ZPT yang mempunyai lebih daripada 1,058 orang pekerja, serta meningkatkan imej dan reputasi negara dalam aspek menjaga kebajikan hidupan liar di peringkat antarabangsa.

“ZPT dengan kerjasama Pertubuhan Bukan Kerajaan (NGO) turut melaksanakan beberapa inisiatif untuk mengumpul dana bagi memastikan stok bekalan makanan hidupan liar adalah mencukupi.

“KeTSA menyanjung tinggi usaha ini dan menyeru lebih banyak badan korporat menghulurkan sumbangan sebagai salah satu program tanggungjawab sosial korporat”, ujarnya.

Kerajaan juga jelas beliau bersetuju untuk memanjangkan secara spesifik diskaun 15% bil elektrik secara bulanan selama enam bulan kepada semua ZPT seperti mana diumumkan dalam Pakej Rangsangan Ekonomi (PRE 1.0) sebelum ini.

Tambahnya terdapat juga beberapa inisiatif lain dalam Pakej Rangsangan Ekonomi yang boleh dimanfaatkan oleh ZPT.

“Pelbagai usaha yang telah dilaksanakan oleh Kerajaan termasuk sumbangan sebanyak RM1.3 juta kepada Zoo Negara pada pagi ini menunjukkan bahawa Kerajaan sentiasa prihatin kepada isu kebajikan dan memberi keutamaan kepada setiap permasalahan yang dihadapi oleh rakyat,” katanya.- UMNO ONLINE

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.