Dewan Perdagangan ASEAN Dan Industri Harap Semua Tidak Terpinggir Termasuk Mereka Yang Muflis – Sohaimi

KUALA LUMPUR, 8 April – Dewan Perdagangan ASEAN dan Industri menyambut baik Pakej Rangsangan Ekonomi Prihatian Rakyat (PRIHATIN) sebanyak RM250 bilion dan pakej PRIHATIN tambahan bagi PKS bernilai RM10 bilion.

Namun pada masa yang sama Timbalan Presidennya, Datuk Sohaimi Shahdan berharap agar tidak ada yang terpinggir termasuk mereka yang muflis kerana terdapat yang muflis itu bukan disebabkan oleh mereka sendiri tetapi kerana menjadi penjamin kepada orang lain termasuklah kerana ditipu dan sebagainya lagi.

“Juga tidak ada masalah jika kerajaan menyediakan satu inisiatif khusus terhadap golongan ini bagi membantu mereka dalam situasai sukar ini untuk memastikan semua pihak atas nama rakyat Malaysia dapat “bernafas” ketika berdepan kesukaran akibat wabak Covid-19.

“Kerajaan juga perlu meminta Bank Negara Malaysia (BNM) turut memberi moratorium kepada peminjam yang gagal membuat bayaran balik pinjaman mereka secara berjadual.

“Ini kerana kita sedar bahawa peminjam-peminjam dalam kategori ini biasanya berdepan dengan masalah kewangan yang memungkinkan mereka berbuat demikian secara berdisiplin mengikut jadual apatah lagi dengan situasai ekonomi semasa,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Katanya lagi, langkah yang diumumkan oleh kerajaan adalah satu usaha radikal kerajaan Perikatan Nasional (PN) dalam usaha menyelamatkan ekonomi negara dan memastikan periuk nasi rakyat sentiasa terjaga ketika berdepan situasai sukar ketika ini.

“Selain itu, kita juga berharap kerajaan segera menggerakkan projek-projek kerajaaan yang dirancang bagi merancakkan ekonomi domestik termasuk peluang pekerjaan. Namun, dalam masa sama kerajaan perlu memecah monopoli penguasaan syarikat besar terhadap projek-projek kerajaan supaya ia turut dapat dinikmati oleh syarikat kecil bagi memberi talian hayat untuk memastikan syarikat-syarikat kecil terus beroperasi sekaligus mengurangkan pembuangan tenaga kerja.

“Dalam pada itu kerajaan perlu segera berfikir secara luar biasa untuk membina kerangka atau kaedah baru bukan saja bagi merancakkan ekonomi bahkan membina daya tahan ekonomi bagi menghadapi situasi luar jangka di masa hadapan.

“Akhir sekali Dewan Perdagangan ASEAN dan Industri meminta agensi pelaksana kepada bantuan yang diumumkan kerajaan ini dapat memudahkan urusan menyalurkan bantuan, kurangkan karenah birokrasi supaya ia dapat disalurkan kepada kumpulan sasar. Arahan kepada agensi pelaksana perlu jelas dan terang supaya langkah yang baik ini dapat dilaksanakan dengan berkesan,” ujarnya.- UMNO ONLINE

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.