Pemuda UMNO Johor Harap Aeon Kredit Turut Laksana Moratorium 6 Bulan – Hairi

KUALA LUMPUR, 31 MAC – Pergerakan Pemuda UMNO Johor berharap syarikat kewangan berlesen terutama AEON Kredit turut dapat melaksanakan moratorium pembayaran balik pinjaman selama enam bulan ekoran penularan pandemik COVID-19 di negara ini.

Menurut Ketuanya, Mohd Hairi Mad Shah, langkah itu perlu memandangkan ramai individu khususnya golongan muda di seluruh negara termasuk di Johor yang mempunyai komitmen ansuran bulanan dengan institusi berkenaan.

Jelas beliau, hampir 90 peratus pemilik motosikal adalah daripada golongan B40 dan M40 yang membuat pinjaman dengan AEON kredit.

“Golongan B40 dan M40, penduduk kampung, golongan usahawan Perusahan Kecil dan Sederhana (PKS) juga antara golongan yang membuat pinjaman dengan AEON kredit.

“Biarpun peminjam AEON kredit berskala kecil tidak seperti institusi perbankan, namun golongan yang meminjam dengan AEON kredit ada dalam kalangan peniaga PKS yang bergantung kepada pendapatan harian, jadi situasi yang berlaku ketika ini menyebabkan mereka cukup terkesan sekali,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Hairi seterusnya mengharapkan agar pihak AEON kredit memandang serius berhubung perkara ini demi meringankan beban pengguna dan PKS berikutan impak daripada pandemik COVID-19 dan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) ke atas ekonomi negara.

“Merujuk kepada data statistik, Negeri Johor mempunyai seramai 98,190 orang usahawan. Seramai 75,603 di bawah definisi mikro iaitu mempunyai nilai jualan bawah RM300,000 serta mempunyai seramai lima pekerja manakala bagi skala kecil iaitu jualan tahunan dari RM300,000 hingga RM15 juta dengan pekerja seramai lima hingga 75 orang adalah seramai 19,638 orang.

“Manakala usahawan berskala sederhana di Negeri Johor seramai 2,945 orang. Usahawan skala sederhana bermaksud mempunyai nilai jualan dari RM15 juta sehingga RM50 juta dengan jumlah pekerja seramai 75 hingga 200 orang pekerja,” ujarnya.

Pemuda UMNO Johor juga berharap kerajaan dapat melaksanakan program pelindungan secara berperingkat untuk usahawan dan peniaga PKS di seluruh negara dan di negeri Johor yang terjejas ekoran penularan wabak COVID-19, katanya lagi.

“Disebabkan oleh penularan pandemik COVID-19 ini dan PKP yang dilaksanakan oleh kerajaan, rata-rata PKS kini terjejas kerana mereka perlu membayar gaji pekerja, bil elektrik, faedah pinjaman bank, AEON kredit, Cukai Jualan dan Perkhidmatan (SST), Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP), Perkeso, sewa kedai dan cukai perniagaan,” katanya.- UMNO ONLINE