Prosiding Komital: Bapa Arwah Muhammad Adib Akan Hantar Representasi Kepada AG

KUALA LUMPUR, 27 Mac – Bapa anggota bomba Allahyarham Muhammad Adib Mohd Kassim, akan mengemukakan representasi kepada Peguam Negara yang baharu, Tan Sri Idrus Harun bagi mendapatkan pendirian Jabatan Peguam Negara (AGC), berhubung permohonan prosiding komital yang difailkannya, terhadap bekas Peguam Negara Tan Sri Tommy Thomas.

Peguam Aidil Khalid yang mewakili bapa Muhammad Adib, Mohd Kassim Abdul Hamid berkata, beliau memaklumkan perkara itu ketika pengurusan kes di hadapan Timbalan Pendaftar Mahkamah Rayuan, Darmafikri Abu Adam pada 11 Mac lepas.

Pengurusan kes itu turut dihadiri Peguam Kanan Persekutuan Mankiranjit Kaur Mehinder Singh, yang mewakili Peguam Negara ketika itu (Thomas) selaku responden.

“Mahkamah dimaklumkan bahawa dengan perkembangan semasa (pertukaran Peguam Negara), maka pihak perayu (Mohd Kassim) akan menulis surat representasi kepadanya (Idrus), bagi mendapatkan pendirian jabatan itu, sama ada masih berdiri teguh di belakang tingkah laku Thomas sebelum ini (khususnya berkaitan kenyataan media yang menjadi subjek perkara prosiding hina mahkamah), ataupun AGC ingin menjarakkan dirinya dengan tindakan Thomas tersebut,” katanya kepada Bernama.

Ditanya sama ada pihaknya telah menghantar surat representasi tersebut Aidil berkata, beliau masih belum berbuat demikian berikutan tidak dapat hadir ke pejabat, susulan Perintah Kawalan Pergerakan yang bermula 18 Mac lepas.

Aidil berkata, pada masa sama, beliau turut memaklumkan kepada mahkamah bahawa beliau akan mendapatkan arahan daripada anak guamnya, sama ada hendak meneruskan rayuan atau menarik balik rayuan, dengan mengambil kira perkembangan semasa berkaitan pertukaran Peguam Negara.

Katanya Mahkamah Rayuan menetapkan 5 Mei untuk pengurusan kes, seterusnya bagi membolehkan pihak-pihak memaklumkan perkembangan kes itu.

Pengurusan kes itu adalah susulan rayuan yang difailkan Mohd Kassim pada 11 Feb lepas, terhadap keputusan Mahkamah Tinggi Shah Alam pada 28 Jan lalu, yang membenarkan rayuan Thomas untuk mengetepikan prosiding komital, yang difailkan terhadapnya oleh Mohd Kassim.

Hakim Datuk Meor Hashimi Abdul Hamid dalam keputusannya berkata, Mahkamah Koroner telah terkhilaf ketika membuat keputusan yang membenarkan prosiding komital dimulakan terhadap Thomas.

Mohd Kassim memfailkan permohonan, untuk memulakan prosiding komital terhadap Thomas pada 16 Julai tahun lepas di Mahkamah Koroner Shah Alam, atas dakwaan menghina mahkamah berkaitan prosiding inkues bagi mencari punca kematian anaknya.

Dalam permohonan itu, Mohd Kassim, 66, mendakwa Thomas telah membuat penghinaan terhadap mahkamah menerusi afidavit yang difailkan Jabatan Peguam Negara pada 3 April tahun lepas, berhubung punca kematian anaknya.

Muhammad Adib, 24, yang juga anggota Unit Bantuan Perkhidmatan Kecemasan (EMRS) Balai Bomba dan Penyelamat Subang Jaya, menghembuskan nafas terakhir pada 17 Dis 2018, di Institut Jantung Negara ekoran kecederaan parah dialaminya dalam rusuhan di tapak Kuil Sri Maha Mariamman, USJ 25, Subang Jaya pada 27 Nov tahun sama.

Pada 27 Sept 2019, Mahkamah Koroner memutuskan kematian Muhammad Adib disebabkan perbuatan jenayah yang dilakukan lebih dua atau tiga individu yang tidak diketahui. – BERNAMA