Jangan Letak Tanda Harga Di Dahi, Jangan Jual Agama, Bangsa Kita – Tok Mat

 

BENTONG, 17 Nov – “Jangan letak tanda harga di dahi kita… jangan jual agama dan bangsa kita, kalau kita tidak dapat buat baik, jangan kita buat kerosakan,” ujar Timbalan Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamad Hasan.

Justeru beliau yang juga lebih dikenali sebagai Tok Mat menjelaskan bahawa Skuad Sabil harus diperbesarkan agar tidak ada pihak yang boleh menongkah arus parti keramat ini.

Beliau berkata demikian ketika berucap dalam Program Penutup Latihan Asas siri 4/2019 Skuad Sabil Pergerakan Pemuda UMNO Malaysia di ILMU, Kampung Janda Baik hari ini.

“Kita kena jalan terus… jalan sudah dibuat elok-elok oleh pejuang dulu tapi jalan sudah mula semak sebab tidak ada yang nak menebas… sebab tidak ada yang sukarela nak tebas… jadi hari ini kita bangkit… sukarela tebas…

“Saya sebenarnya bangga dengan Skuad Sabil ini kerana saya dapat rasakan gegaran anak muda, gegaran luar biasa,” tegas beliau.

Mengulas mengenai kemenangan Barisan Nasional (BN) di Pilihan Raya Kecil (PRK) Tanjung Piai beliau berkata, semua pihak jangan terlalu leka kerana perang yang lebih besar perlu kita hadapi adalah Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15).

“Kita perlu ingatkan diri kita yang kita nak hadapi perang lebih besar… iaitu PRU-15. Berbagai mesej telah disampaikan oleh rakyat melalui PRK Tanjung Piai.

“Sekarang ini Pakatan Harapan (PH) hadapi masalah integriti yang tak dapat mereka perbaiki sebab mereka adalah sebuah parti yang naik atas berbohong dan fitnah.

“Jadi kemenangan di Tanjung Piai bukan undi protes tapi undi orang dah benci,” tegas beliau.

Justeru Tok Mat mengingatkan semua ahli UMNO agar mengambil iktibar di atas apa yang menimpa PH kini. – UMNO ONLINE

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.