Terima Kasih, UMNO Sambut Baik Kerajaan Tak Ratifikasi ICERD


KUALA LUMPUR, 23 Nov – Kerajaan Malaysia telah membuat kenyataan rasmi bahawa negara tidak akan meratifikasi Konvensyen Antarabangsa Mengenai Penghapusan Segala Bentuk Diskriminasi Kaum (ICERD), demi mempertahankan Perlembagaan Persekutuan yang di dalamnya termaktub kontrak sosial yang telah dipersetujui oleh wakil semua kaum semasa pembentukan negara ini.

Sehubungan itu, UMNO Malaysia berterima kasih dan menyambut baik keputusan tegas dan berprinsip ini, kata Timbalan Presidennya, Datuk Seri Mohamad Hasan.

“Selepas pelbagai penegasan serta bantahan yang dikemukakan oleh UMNO Malaysia serta pergerakan sivil di peringkat massa, saya secara peribadi dan UMNO Malaysia berterima kasih dan menyambut baik keputusan tegas dan berprinsip ini,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Ujarnya, ia sudah pastinya menjawab dan memberi penamat kepada pelbagai spekulasi dan pertikaian panas yang kita lihat selama ini.

“UMNO Malaysia akan terus memberikan kerjasama serta sokongan kepada Kerajaan Pakatan Harapan dalam sebarang usaha yang akan membawa kebaikan serta kesejahteraan dalam hubungan antara kaum dan etnik di Malaysia.

“UMNO Malaysia turut komited untuk terus membantu menambah baik formula keharmonian kaum yang kita bina dan amalkan selama ini.

“Semoga keputusan tegas Kerajaan ini akan diterima baik oleh semua pihak dan sebarang usaha tidak bertanggungjawab untuk cuba membangkitkan kembali isu yang sudah diputuskan ini akan dihentikan,” katanya lagi.

Dilaporkan, Pejabat Perdana Menteri hari ini mengeluarkan kenyataan bahawa kerajaan menegaskan tidak akan meratifikasi ICERD sebaliknya akan terus mempertahankan Perlembagaan Persekutuan.

“Kerajaan Pakatan Harapan tidak akan meratifikasi ICERD.

“Kerajaan akan terus mempertahankan Perlembagaan Persekutuan di mana di dalamnya termaktub kontrak sosial yang telah dipersetujui oleh wakil semua kaum semasa pembentukan negara ini,” kata kenyataan itu di sini hari ini. – MediaUMNO

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.