Isu RMT : Menteri Pendidikan ‘Cool’ ‘Tembak’ Boss Sendiri?


KUALA LUMPUR, 13 Nov – Tindakan Menteri Pendidikan Dr Maszlee Malik yang cuba menjadi ‘cybertrooper’ yang ‘cool’ dengan mendedahkan dokumen audit tahun 2015 mengenai Rancangan Makanan Tambahan (RMT) dilihat memakan diri sendiri, apabila ia memperlihatkan kepincangan ‘boss’nya sendiri.

Menurut Naib Ketua Pemuda UMNO Malaysia Shahril Sufian Hamdan, jika merujuk kepada Laporan Ketua Audit Negara dan respon Perbendaharaan, audit tersebut dilaksanakan untuk tempoh 2013 hingga 2015.

“Kalau nak ikut dokumen memo dalaman yang didedahkan oleh Dr Maszlee pun, audit tersebut bermula 2 Ogos 2015. Datuk Seri Mahdzir Khalid jadi Menteri Pendidikan beberapa hari sahaja sebelum itu, 28 Julai 2015.

“Agaknya kalau ada sebarang kelemahan yang didapati dalam audit, kelemahan itu di bawah pentadbiran siapa sebagai Menteri Pendidikan?,” soalnya dalam lontaran di laman Facebooknya.

Untuk rekod, Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) Tan Sri Muhyiddin Yasin pernah menjawat jawatan sebagai menteri pendidikan pada tahun 2009 hingga 2013, dan 2013 hingga 2015.

Jelas Shahril lagi, jika merujuk kepada dokumen yang didedahkan oleh ahli Parlimen Simpang Renggam itu, jelas menyenaraikan kelemahan pengurusan dan pelaksanaan terutamanya dari Jabatan Pendidikan Negeri (JPN), Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) dan pihak sekolah, bukannya soal korupsi atau salahguna kuasa.

“Kalau lihat strategi pelaksanaan RMT pun, jelas bahawa pengoperasian banyaknya di bawah kelolaan sekolah dan PPD. Jadi Dr. Maszlee seakan mengaibkan penjawat awam dia sendiri, termasuklah guru-guru sekolah.

“Atau mungkin menteri sekarang yakin Kementerian Pendidikan sudah tiada sebarang kelemahan pelaksanaan ye? Semua A++?,” sinisnya.

Tambah menjengkelkan kata Shahril, isu RMT ditimbulkan oleh ahli Parlimen Rembau Khairy Jamaluddin di dalam parlimen dan sewajarnya Dr Maszlee sebagai menteri menjawabnya juga di tempat yang sama.

“Menteri ada ruang dalam penggulungan kementerian minggu depan untuk menjawab persoalan yang dikemukakan KJ (Khairy Jamaluddin). Tidak perlu menteri jadi seperti ‘cybertrooper’ untuk keluarkan kenyataan di Facebook dengan nada sinis.

“Tindakan menteri ini hanya menunjukkan kelemahan beliau yang jelas tidak memahami asas kepada masalah yang dihadapi oleh pihak kementerian sendiri,” bidas Shahril.

Oleh sebab itulah jelas Shahril lagi, gaya penulisan Dr Maszlee di laman facebooknya yang kononnya mahu meniru gaya Datuk Seri Najib Razak atau Khairy Jamaluddin dengan menampakkan diri seolah-olah ‘cool’ dengan bahasa bersahaja tidak menjadi kerana ‘point’ yang dibentangkannya ke laut dan takut-takut tidak memaparkan imej sebagai seorang menteri kabinet.

“Saja nak maklum kat menteri, soal gaya ni susah nak ajar. Kalau ada skil tu dengan natural, boleh. Kalau tak ada, tak perlu tiru ‘style’. Guna sahaja ayat skema pun tak apa, selagi ‘point’ ada.

“Sebab kalau cuba sangat, takut ‘point’ ke laut dan kenyataan tidak memaparkan sifat seorang menteri yang ada ‘class’,” sinisnya. – Media UMNO.

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.