191 UMNO Bahagian Bersidang, Pemilihan Tentukan Barisan Pemimpin Parti

KUALA LUMPUR, 30 Jun – Lebih 100 ribu perwakilan UMNO dari 191 Bahagian memulakan persidangan hari ini serentak dengan pemilihan bagi menentukan barisan kepimpinan parti di semua peringkat iaitu pusat dan bahagian.

Bagi peringkat Pusat, semua jawatan dipertandingkan secara terbuka dengan melibatkan 140 orang calon yang menawarkan diri bertanding dalam Pemilihan UMNO 2018 telah pun dimuktamadkan selepas semua calon berdaftar disaring mengikut kelayakan dalam perlembagaan parti dan Jabatan Insolvensi.

Bagi jawatan tertinggi iaitu Presiden parti, lima calon bertanding iaitu Naib Presiden yang menjalankan tugas-tugas Presiden, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi; Ahli Parlimen Gua Musang, Tengku Razaleigh Hamzah dan juga mantan Ketua Pemuda UMNO, Khairy Jamaludin; Mohamed Iqbal Maricair dan Mohd Yusof Musa @ Jamaluddin

Untuk jawatan Timbalan Presiden pula akan menampilkan dua tokoh politik iaitu Ketua Penerangan UMNO, Tan Sri Annuar Musa dan bekas Menteri Besar Negeri Sembilan, Datuk Seri Mohamad Hassan sementara bagi jawatan Naib Presiden membariskan tujuh calon.

Mereka ialah Datuk Seri Ahmad Said, Datuk Seri Ismail Yaakob, Datuk Seri Johari Abdul Ghani, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin, Datuk Seri Mahdzir Khalid dan Datuk Seri Tajuddin Abdul Rahman serta Sheikh Razali Sheikh Ahmad.

Barisan Majlis Tertinggi pula melibatkan 109 orang wakil bagi mengisi 25 jawatan yang menampilkan kepimpinan dari pelbagai lapisan. – MediaUMNO

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.