Pelantikan Speaker DUN : UMNO Kedah Sedia Berunding

ALOR SETAR, 26 Jun – UMNO Kedah bersedia untuk berunding dengan semua yang berkenaan berhubung pelantikan speaker Dewan Undangan Negeri (DUN).

Naib Presiden UMNO yang menjalankan tugas-tugas presiden Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata perkara itu dimaklumkan kepada beliau oleh pucuk pimpinan  UMNO Kedah.

“Saya telah berbincang dengan Pengerusi Badan Perhubungan UMNO negeri Datuk Seri Ahmad Bashah Md Hanipah dan dua Anggota Dewan Undangan Negeri (ADUN) dan kita akan buat keputusan terbaik dan tepat demi kepentingan bersama,” katanya selepas Majlis Jamuan Hari Raya Aidilfitri Badan Perhubungan UMNO Kedah di sini, hari ini.

Beliau berkata dari segi UMNO pusat pula, mereka akan menerima keputusan yang dibuat oleh UMNO Kedah.

Sementara itu Ahmad Zahid berkata UMNO tidak menolak kemungkinan berlakunya  pilihan  raya negeri sekiranya tiada jalan penyelesaian berhubung isu itu namun seboleh-bolehnya mencari penyelesaian lain yang terbaik.

Isu speaker DUN timbul apabila Pakatan Harapan menguasai 18 kerusi DUN selepas Pilihan Raya Umum Ke-14 lalu manakala PAS menguasai 15 kerusi dan BN sebanyak tiga kerusi.

Menteri Besar Kedah Datuk Seri Mukhriz Tun Mahathir sebelum ini dilaporkan akan mengadakan pertemuan dengan PAS dan UMNO untuk menyelesaikan isu berkenaan sebelum berlangsungnya persidangan DUN yang dijadualkan pada awal bulan depan.

Bagaimanapun, Mukhriz hari ini menyatakan kerajaan Kedah pimpinan Pakatan Harapan (PH) tidak boleh menerima cadangan calon speaker DUN yang dikemukakan PAS kerana  bukan dalam kalangan ADUN.

Mukhriz dilaporkan berkata perkara itu adalah mustahil kerana sekiranya calon tersebut diterima maka bilangan pembangkang di dalam Dewan akan menjadi 19 berbanding 18 di pihak kerajaan.

Terdahulu, Ahmad Zahid yang juga calon presiden UMNO menghadiri sesi memperkenalkan calon-calon yang bertanding pada peringkat tertinggi pemilihan UMNO  yang dijadualkan 30 Jun ini.

Turut hadir pada sesi berkenaan ialah  calon timbalan presiden Tan Sri Annuar Musa dan Datuk Seri Mohamad Hassan, calon-calon naib presiden dan anggota Majlis Tertinggi yang lain.

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.