Tidak Nampak Pembaharuan Kerajaan PH, Sekadar Re-branding Dari BN

KUALA LUMPUR, 12 Jun – Ahli Majlis Tertinggi UMNO, Datuk Dr Shamsul Anuar Nasarah berkata tidak nampak secara jelas pelbagai pembaharuan yang dibuat oleh kerajaan baharu Pakatan Harapan (PH) sejak mengambil alih negara ini sebaliknya yang pasti, lebih kepada soal re-branding terhadap apa yang telah dilaksanakan oleh kerajaan terdahulu sahaja.

“Kita lihat umpamanya, Suruhanjaya Perkhidmatan Awam Darat (SPAD) yang pada mulanya diwar-war akan dibubarkan, malah sewaktu mereka di blok pembangkang, SPAD sering dikritik. Malangnya apabila mereka berkuasa, SPAD kemudiannya hanya ditukar nama kepada Agensi Perkhidmatan Awam Darat (APAD) sahaja. Semua ini jelas memperlihatkan bagaimana Kerajaan PH hanya melakukan proses penjenamaan semula agensi berkenaan yang sebelum ini berada di bawah pemerintahan kerajaan Barisan Nasional (BN).

“Selain itu, Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M) yang dulunya ditohmah dengan macam-macam akhirnya turut kekal cuma namanya sahaja yang bertukar iaitu Bantuan Sara Hidup (BSH).

“Apa salahnya jika benda dan perkara-perkara yang melibatkan kepentingan awam dan rakyat keseluruhannya daripada pemerintahan BN terdahulu dikekalkan. Janganlah hanya sekadar re-branding… paling tidak pun carilah sedikit kelainan,” katanya dalam satu kenyataan kepada UMNO-Online.

Sebelum ini dilaporkan sebuah entiti baharu yang dikenali sebagai Agensi Pengangkutan Awam Darat (APAD) akan diwujudkan bagi menggantikan Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat (SPAD).

Menteri Pengangkutan, Anthony Loke Siew Fook berkata, langkah tersebut merupakan antara pelan penstrukturan semula suruhanjaya tersebut bagi mengurangkan kos dan memastikan tiada pertindihan tugas dengan jabatan lain terutamanya Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ).

Turut bertukar nama adalah Bantuan Rakyat 1Malaysia yang sebelum ini diperkenalkan oleh kerajaan BN bertukar kepada Bantuan Sara Hidup (BSH).

Shamsul seterusnya menegaskan apa yang kerajaan PH laksanakan dan lakukan hari ini tentunya menjadi tumpuan dan perhatian rakyat terutama berkenaan janji 100 hari mereka.

“Kita sama-sama tunggu apa perkembangan seterusnya. Hari ini yang nampak adalah sekadar re-branding atau penjenamaan semula apa yang dilaksanakan oleh kerajaan BN sebelum ini,” katanya.

Turut sama ditukar nama ialah Pojek Perumahan Rakyat 1Malaysia (PR1MA) kepada Perumahan Rakyat Harapan Malaysia – MediaUMNO

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.