Sultan Mizan Gesa Umat Islam Sambut Aidilfitri Dengan Berhemah

KUALA TERENGGANU, 12 Jun – Sultan Terengganu Sultan Mizan Zainal Abidin menggesa umat Islam di negeri ini menyambut Syawal dengan cara berhemah dan sederhana.

Titah baginda, walaupun umat Islam disunatkan untuk berhias dan bergembira pada Hari Raya tetapi ia bukan bermakna mereka boleh berlebih-lebihan dalam menyambutnya dan melampaui batas kemampuan diri.

“Laksanakan kebaikan itu dalam suasana sewajarnya agar ia tidak mendatangkan kesukaran kepada diri kita sendiri.

“Elakkan diri kita daripada mengikut kehendak hawa nafsu dengan sikap ingin menunjuk-nunjuk sehingga sanggup berhutang kerana perbuatan itu sangat dilarang dalam Islam,” titah baginda dalam perutusan sempena Aidilfitri yang diedarkan ke seluruh masjid di Terengganu.

Baginda turut mengingatkan agar umat Islam tidak melupakan saudara seagama yang tidak dapat menyambut perayaan itu ekoran menjalankan tugas untuk kepentingan orang ramai seperti doktor, jururawat, anggota polis, tentera dan sebagainya.

Baginda juga menyeru seluruh rakyat agar mendoakan kesembuhan dan kesejahteraan umat Islam yang terlantar sakit di hospital atau di rumah orang-orang tua agar mereka juga diberi kesembuhan untuk bersama-sama menyambut Hari Raya dengan keluarga Syawal ini.

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.