UMNO Perlu Pemimpin Berjiwa Besar Pulihkan Semangat Juang, Pastikan Bangkit Kembali


KUALA LUMPUR, 11 Jun – UMNO memerlukan seorang pemimpin berjiwa besar yang boleh memulihkan semangat juang parti dan pada waktu sama, melakukan rombakan revolusi secara besar-besaran untuk memastikan parti ini sentiasa bersama rakyat jelata, kata Ahli Majlis Tertinggi UMNO, Datuk Dr Abdul Latiff Ahmad.

Katanya, UMNO sebagai parti berusia 72 tahun kini melalui hari-hari yang penuh mencabar dalam mendepani kestabilan politik termasuk menguruskan secara berhemah dan bijaksana bagi memastikan parti terus relevan di sisi ahli parti dan rakyat jelata.

“Perjuangan perlu diteruskan walaupun badai yang melanda itu cukup terkesan terhadap pucuk pimpinan tertinggi dan parti secara keseluruhannya tetapi kita sebagai pemimpin dan ahli parti secara keseluruhannya redha, sabar dan bertabah dengan ketentuan Allah SWT,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Katanya, kesan daripada keputusan Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14) tempoh hari memperlihatkan peralihan pucuk pimpinan Datuk Seri Mohd Najib Razak selaku Presiden UMNO dan Pengerusi Barisan Nasional (BN) kepada Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi yang ketika itu, Naib Presiden UMNO yang menjalankan tugas-tugas sebagai Timbalan Presiden UMNO.

“Pada ketika keadaan yang rumit dan runcing itu, kesediaan dan keterbukaan Dr Ahmad Zahid menerima amanah yang dipikul sebagai Pemangku Presiden UMNO dan Pengerusi BN adalah satu langkah buat seorang insan yang sayangkan parti keramat orang Melayu Bumiputera.

“Tanpa mempedulikan betapa teruknya kerosakan yang dialami parti, saya melihat Dr Ahmad Zahid seorang yang pantang berundur, tidak melatah tetapi mempunyai kebijaksanaan untuk mengatur dan membaikpulih bahtera UMNO secara berhemah.”

Tegasnya, ahli UMNO sepatutnya melihat atas kesedaran seorang pemimpin yang sanggup memikul tanggungjawab yang amat berat ini iaitu berada pada ketika kemerosotan yang belum pulih lagi, sewajibnya setiap lapisan pemimpin dan ahli parti perlu memberi sokongan yang tidak berbelah-bahagi.

“Soal berpuak-puak ini perlu ditolak jauh sama sekali kerana dalam pemilihan kali ini, kita perlu sedar akan kepentingan parti lebih jauh menjangkau dan memerlukan seorang nakhoda yang bijak membina semula.

“Keadaan politik sekarang jauh berbeza dan UMNO memerlukan seorang Presiden seperti Dr Ahmad Zahid yang seterusnya memerlukan sokongan kita semua. Tidak mudah untuk menguruskan kepentingan ahli lebih 3 juta orang tetapi semangat kesatuan yang telah lama terbit dalam jiwa Dr Ahmad Zahid membolehkan parti boleh berada di landasan semula.”

Beliau melahirkan keyakinan bahawa UMNO akan pasti bangkit kembali.

“Saya menyokong sepenuhnya Dr Ahmad Zahid sebagai Presiden UMNO yang berjiwa besar yang sudah tentu mempunyai perancangan dan hala tuju untuk merapatkan saf dan kebersamaan pada peringkat pertama ini. Soal ini lebih penting sebelum merangka kepada hala tuju saf kepimpinan yang baharu pula kerana beliau sudah melalui proses dari peringkat bawah sehingga ke atas.

Beliau yang juga Timbalan Pengerusi UMNO Johor memaklumkan bahawa UMNO Johor tidak membuat keputusan untuk menyokong mana-mana jawatan pelbagai peringkat termasuk jawatan Presiden dan Timbalan Presiden.

“Kita menyerahkan kepada kebijaksanaan akar umbi bertanggungjawab untuk membuat pilihan mereka sendiri.

“Jika ada mana-mana pihak yang mengaku UMNO Johor cenderung kepada seseorang tokoh, ia adalah pandangan peribadi dan bukannya daripada UMNO Johor,” tegasnya lagi. – MediaUMNO

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.