Najib Sanggah Skrip Fitnah Tun M Tajaan Haji 1MDB Sumber Haram


KUALA LUMPUR, 11 Jun – Bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Mohd Najib Tun Razak menyangkal sekeras-kerasnya ulangan skrip Tun Dr. Mahathir Mohamad bahawa wang yang digunakan 1Malaysia Development Berhad (1MDB) bagi membiayai beribu jemaah haji adalah hasil curi.

Katanya, kenyataan Tun Mahathir adalah satu kesilapan ditambah pula beliau kerap membuat dakwaan duit dicuri dari 1MDB.

“Bagaimana agaknya, 1MDB mencuri wang 1MDB sendiri untuk membolehkan syarikat ini membiayai jemaah haji?

“Jemaah haji yang dibiayai 1MDB tidak perlu bimbang kerana dana yang digunakan untuk membantu mereka menunaikan Rukun Islam kelima ini adalah dari sumber halal kerana saya akan menanggung dosa yang besar jika ia adalah sebaliknya,” tegas Najib dalam satu entri terbaru di facebooknya di sini, hari ini.

Selain itu, Najib turut melahirkan perasaan kecewa apabila ramai rakyat beragama Islam berpendapatan rendah di negara ini yang memerlukan bantuan bagi memenuhi tuntutan agama menunaikan haji, kini tidak lagi menerima bantuan dari kerajaan.

Dalam perkembangan yang sama, Najib berkata berdasarkan beberapa siri kenyataan Tun Mahathir, jelas perdana menteri ketujuh itu mengaku Pakatan Harapan (PH) membuat segala tuduhan terhadapnya mengenai 1MDB tanpa bukti kukuh.

“Di sebalik meyakinkan ramai rakyat Malaysia sebelum Pilihan Raya Umum ke-14, kononnya saya mencuri berbilion dana 1MDB, Tun Mahathir kini berkata, tanpa bukti kukuh, menahan atau mendakwa saya di mahkamah adalah tidak mudah.

“Beliau turut berkata bukti tidak kukuh dan jika saya didapati tidak bersalah oleh mahkamah, maka segala tuduhan yang dilempar dan tindakan oleh PH selama ini akan dipersoalkan oleh rakyat.

“Ia juga membuktikan kertas pertuduhan yang didakwa sudah disediakan untuk mendakwa saya pada 2015 adalah tidak benar dan sebahagian dari konspirasi menggunakan individu tertentu di dalam pentadbiran kerajaan untuk menggulingkan saya,” ujarnya lagi.

Pada ketika itu kenyataannya tidak pernah diambil oleh SPRM, justeru bagaimana pula terdapat kertas pertuduhan, soalnya.

“Hanya sekarang, mereka mahu melakukan justifikasi kepada tuduhan mereka dengan mencari ‘bukti’, sama ada ia benar, diimaginasikan atau direka.

“Saya ingin ulangi, bahawa saya tidak menerima faedah mahupun mencuri wang dari 1MDB atau mana-mana pihak. Jika saya didakwa atas alasan politik, saya yakin mahkamah akan membuktikan saya tidak bersalah.

“Berbeza dengan Perdana Menteri keempat, anak saya tidak memiliki syarikat senarai awam, memiliki kereta mewah ‘supercar’ bernilai berjuta ringgit dan tidak pernah dianugerahkan kontrak kerajaan atau menjalankan perniagaan dengan kerajaan,” sinisnya lagi. – Media UMNO.

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.